TIDAK pernah mereka duga, pandemik Covid-19 yang melanda dunia, dua tahun lalu membuka langkah kumpulan yang menggelarkan diri sebagai Urban Aubade untuk bertapak dalam industri hiburan.
Seperti artis baharu lain, Urban Aubade juga mengharapkan permulaan perjalanan mereka lancar, sekali gus membantu melonjakkan nama kumpulan yang masih hijau itu untuk bertapak selesa.
Namun, apa yang mereka harapkan itu tidak menjadi kenyataan. Disebabkan pelbagai kekangan, perjalanan awal Urban Aubade sedikit terganggu menyebabkan karya mereka tidak dapat diketengahkan dengan berkesan.
“Memandangkan kami masih baru dalam industri muzik, banyak aspek seperti pemasaran, promosi dan pengurusan yang kami tidak mahir. Ia memberikan kami sedikit cabaran untuk mengetengahkan karya yang dihasilkan.
“Namun begitu, kami bersyukur kerana syarikat Wamo NSG Enterprise banyak membantu menyelesaikan masalah yang kami harungi.
“Mereka menjadi solusi kepada hal berkaitan balik tabir industri seperti pemasaran lagu, pembentukan imej dan lain-lain,” kata Muhammad Reza Akasyah Reza Adnan atau nama pentasnya, inDeed.
Selain inDeed yang bertindak sebagai komposer, Urban Aubade turut dianggotai tiga ahli lain iaitu Ahmad Feisal (Fey) selaku vokalis, Shafiq Farhan Mohd. Zakir (Sirneyman/ penyanyi rap) dan Muhammad Zuraidi Md. Ali (Sad Moose/komposer).
inDeed berkata, walaupun sukar mengukir nama dalam industri, Urban Aubade percaya bakat dimiliki mampu menarik khalayak untuk mengenali dan mendekati karya mereka.
“Sokongan orang ramai membuatkan kami yakin untuk terus berkarya. Kata semangat yang diberikan membuatkan kami ingin membalas kebaikan mereka dengan kejayaan,” katanya.
Lagu tenang hati
Bercerita permulaan langkah mereka, inDeed berkata, Urban Aubade pada mulanya lebih selesa bergerak di balik tabir dengan menghasilkan pelbagai lagu.
Disebabkan usaha mereka kurang mendapat sambutan, malah turut dipandang sepi label rakaman, mereka terfikir untuk menyanyikan sendiri lagu yang dihasilkan.
Menurut inDeed, mereka memilih genre hip pop dan R&B yang dipengaruhi elemen Electronic Dance Music (EDM) sebagai taruhan.
“Setakat ini, kami sudah mengeluarkan lagu Tenat (2020), Hilang (2021), Aniaya Cinta (2021) dan yang terbaru, Satu-Satunya (2022).
“Lagu terbaru kami itu merupakan ciptaan dan terbitan kami sendiri dengan kerjasama Wamo NSG Enterprise.
“Ia menceritakan tentang sekumpulan sahabat yang cuba memujuk rakan mereka yang menanggung beban dan menghadapi dugaan untuk teruskan hidup.
“Lagu ini juga menyampaikan kebaikan dan kasih sayang supaya dia kekal bersangka baik kepada Maha Pencipta,” katanya.
inDeed berkata, menerusi Satu-Satunya juga, mereka cuba memberi pesanan ringkas dalam setiap rangkap lagu dengan harapan dapat menyentuh hati pendengar.
“Kami ada terima feedback daripada pendengar dan mereka menyifatkan Satu-Satunya sebagai lagu yang menenangkan hati. Memang itu niat kami ketika menulis lagu tersebut,” katanya.