KUALA LANGAT : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap dapat memberi berita baik di dalam Bajet 2023 yang bakal dibentang 7 Oktober depan berhubung isu kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Menurut Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Kuala Langat, Mohd.Al Hafizi Abu Bakar golongan belia yang terjejas atau masih belum dapat mengukuhkan pendapatan selepas tempoh endemik Covid-19 bermula, wajar tidak dikenakan kenaikan OPR.
“Ini disebabkan golongan ini masih sedang dalam proses membina semula ekonomi mereka pasca pandemik Covid-19.
“Kerajaan harus peka dan tidak terlalu menekan untuk melaksanakan kenaikan OPR tersebut,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Belia Peringkat Daerah Kuala Langat yang dijadualkan 24 September depan di Sijangkang hari ini.
Terdahulu media melaporkan, orang ramai kecewa berikutan kenaikan kali ketiga OPR berturut-turut pada tahun ini dengan kenaikan sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.
Ia susulan pengumuman Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini, dengan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.
Mohd.Al Hafizi yang juga Presiden Kelab-Kelab Belia Kebangsaan (MAYC) berkata, pihaknya tidak mahu lebih ramai golongan belia diisytiharkan bankrap disebabkan isu tersebut.
Katanya lagi, pihaknya memandang berat isu kebankrapan belia dan ia menjadi fokus utama pihak MAYC untuk memberikan kesedaran mengenai perancangan kewangan kepada golongan tersebut.
“Kita tidak mahu kelemahan pengurusan kewangan menjadi punca belia diisytihar bankrap seawal umur 32 hingga 35.
“Golongan belia perlu lebih cakna dalam ilmu pengurusan kewangan bagi memastikan pendapatan yang diterima diurus dengan bijak.Sehubungan dengan itu pihak kerajaan turut diharap dapat mengawal OPR agar tidak menjejaskan golongan tersebut,” katanya. -UTUSAN