Mazlina tidak peduli arahan pegawai atasan - Fadzlette - Utusan Malaysia

Mazlina tidak peduli arahan pegawai atasan – Fadzlette

AHMAD Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. - UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, bekas Setiausaha Eksekutif Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly seorang individu yang tidak memperdulikan arahan pegawai atasan meskipun perkara yang melibatkan tugas rasmi.

Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican berkata, Mazlina juga tidak menghormati beliau sewaktu bertugas di Kementerian Dalam Negeri kerana beranggapan hanya Ahmad Zahid berhak mengeluarkan arahan kepadanya.

Fadzlette berkata, beliau yang ketika itu bertugas sebagai Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri berkata, Ahmad Zahid pernah memaklumkan agar beliau memantau tindakan Mazlina kerana pangkatnya lebih tinggi.

“Saya juga tahu tentang isu-isu kecuaian Mazlina antaranya berkenaan kesilapan beliau berhubung pengendalian akaun peribadi Datuk Seri Zahid,” ujar Fadzlette ketika membacakan pernyataan bertulisnya.

Fadzlette yang kini Pengarah Media Presiden UMNO, dipanggil sebagai saksi pembelaan kedua pada perbicaraan Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Fadzlette selanjutnya menyatakan, beliau pernah menyampaikan pesanan Ahmad Zahid kepada Mazlina supaya ditunjukkan penyata-penya kad kredit dan cek-cek sebelum ditandatangani.

Ujar bekas pegawai kanan tentera itu, Mazlina bagaimanapun sentiasa memberikan pelbagai alasan serta helah dan tidak pernah menunjukkan kepadanya penyata dan cek seperti yang diminta.

Selain itu, Fadzlette memberitau, beliau mengetahui Mazlina mengawal sepenuhnya cop tandatangan Ahmad Zahid yang juga digunakan untuk urusan cop sijil-sijil dan kad-kad perayaan.

Berhubung perlakuan dan perwatakan Mazlina, Fadzlette menyatakan, pegawai itu suka bersendirian, tidak berkongsi pendapat mahupun bergaul dengan pegawai lain serta kerap tidak hadir mesyuarat mingguan di pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Beliau turut menyatakan, sepanjang ditumpangkan dan bertugas sebagai Setiausaha Eksekutif,
Mazlina bekerja dan membuat keputusan secara
bersendirian (in silo) dan membelakangkan ethos ketenteraan.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob, Fadzlette bersetuju Mazlina menerima arahan langsung daripada Ahmad Zahid.

Menjawab soalan Abdul Malik, beliau kurang bersetuju bahawa Mazlina melaksanakan tugas dengan baik.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya