Masjid Kampung Laut bantu ekonomi Kelantan - Utusan Malaysia

Masjid Kampung Laut bantu ekonomi Kelantan

AHMAD Yakob (kanan) melihat Ismail Sabri Yaakob (tengah) menurunkan tanda tangan sebagai gimik perasmian Laman Warisan Kampung Laut, Tumpat, Kelantan hari ini.UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARULZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Pengiktirafan Masjid Kampung Laut sebagai Monumen Warisan Kebangsaan dan usaha untuk mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) bakal menjadi ‘magnet’ ekonomi buat negeri ini merusi aktiviti pelancongan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan, selain pemindahan masjid tersebut ke tapak asalnya dua kompleks komersial turut dibangunkan iaitu Laman Warisan Seni dan Laman Warisan Serunding.

Menurutnya, pembangunan dua kompleks berkenaan telah membuka peluang kepada usahawan serunding dan kraftangan tempatan yang kebanyakannya berniaga di rumah sebelum ini. 

“Penempatan usahawan serunding di sebuah kompleks khusus yang kondusif serta menarik memberi impak positif dalam pemasaran produk kepada pelancong tempatan dan asing.

“Saya menghargai inisiatif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk menempatkan usahawan kraftangan yang mewakili seni kraftangan utama di Kelantan seperti batik dan wau di Laman Warisan Seni,” katanya pada Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu memberitahu, inisiatif ECERDC itu akan menyemarakkan lagi seni, budaya dan warisan Kelantan.

“Ia sekali gus menjadikan Kampung Laut sebagai muzium hidup yang mempamerkan gaya hidup dan seni budaya penduduk setempat.

“Saya gembira kerana idea yang dicetuskan kerajaan negeri untuk memindahkan Masjid Kampung Laut ke lokasi asalnya telah menjadi kenyataan. Saya mewakili kerajaan dan rakyat negeri ini ingin menzahirkan rasa terima kasih kami kepada Kerajaan Persekutuan dan ECERDC,” ujarnya.

Ahmad berkata, Projek Pembangunan Semula Kampung Laut akan memberi limpahan rezeki kepada penduduk tempatan dan selain itu, projek pembangunan Jambatan Palekbang yang bakal bermula pada hujung tahun ini adalah antara projek yang dinantikan oleh rakyat Kelantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya