Mangsa ribut Pantai Kundor masih terkejut

Mangsa ribut Pantai Kundor masih terkejut

WARDIANI Ayu Baba menunjukkan benteng yang roboh dan menghempap dinding rumahnya di Solok Hasan Yasin, Pantai Rombang, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ribut yang melanda beberapa kampung di Pantai Kundor dekat sini ternyata me­ninggalkan kesan mendalam kepada semua mangsa, de­ngan majoriti mereka mengakui masih terkejut dengan bencana, awal pagi Selasa lalu.

Menceritakan detik cemas itu kepada Utusan Malaysia, seorang mangsa dari Kampung Pantai Rombang, Wardiani Ayu Baba, 35, berkata, ribut berke­naan telah meruntuhkan tembok di sebelah rumahnya sehingga menghempap dinding ruang tamu.

Katanya, tragedi itu menye­babkan dia dan suami kini hanya ‘tidur-tidur ayam’, ekoran khuatir ribut berulang memandangkan perubahan cuaca kebelakangan ini sukar diramal.

“Kami masih terkejut kerana tidak pernah mengalami kejadian yang menakutkan itu sepanjang lapan tahun menetap di Solok Hasan Yasin, Kampung Pantai Rombang.

“Saya dan suami sudah mula berjaga-jaga kerana risau insiden yang sama berlaku kerana cuaca yang sentiasa mendung sejak beberapa hari lalu,” kata­nya ketika ditemui.

Dalam kejadian kira-kira pu­kul 3 pagi itu, sebanyak 15 rumah mengalami kerosakan bumbung dan dinding manakala 69 buah rumah lain dilanda banjir kilat.

Sementara itu, peniaga asam pedas di Pantai Puteri, Maizatul Aini Basri, 36, berkata, dia kerugian hampir RM15,000 apabila beberapa peralatan memasak rosak selepas kabin perniagaannya dihempap pokok yang tumbang.

“Semua barangan rosak dan pecah serta tidak boleh digu­na­kan. Buat masa ini saya meng­gunakan khemah untuk menjalankan perniagaan selewat-lewatnya minggu depan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, kawasan yang terlibat bencana adalah Tanjung Kling, Pantai Rombang, Kampung Lereh, Kampung Gelam, Pantai Kundor, Kampung Pengkalan Lanjut dan Pantai Puteri.

“Semua mangsa telah mene­rima bantuan bencana termasuk wang ihsan dan kit makanan. Ketika ini kesemua mangsa me­nunggu bantuan daripada pejabat daerah.

“Bagi penghuni 15 rumah yang terjejas akibat beberapa kepingan atap zink diterbangkan angin kuat, mereka akan menerima bantuan bencana untuk membaiki kerosakan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya