PETALING JAYA: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sedang memperhalusi prospek ke arah mengukuhkan lagi hubungan dua hala khususnya dalam konteks pertahanan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia termasuk meningkatkan perkongsian kepakaran serta pengalaman Malaysia dan UAE demi kepentingan keselamatan rakyat masing-masing.
“Kami berkongsi sejarah hubungan dua hala yang akrab dan mengambil peluang menzahirkan penghargaan atas komitmen kerajaan masing-masing demi memastikan hubungan Malaysia dan UAE kekal bermanfaat dan membanggakan,” katanya dalam satu kenyataan sempena lawatan kerja beliau ke negara itu.
Menurutnya, lawatan itu dimulakan dengan pertemuan bersama Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
“Pertemuan ini juga dimanfaatkan untuk membincangkan keperluan meningkatkan semangat persefahaman berteraskan nilai-nilai perpaduan dan tolak ansur, terutama melalui penubuhan Kursi Sheikh Zayed di Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia secara sintesis dengan Kursi Tun Hussein Onn yang telah lama ditubuhkan.
“Kami percaya, pemegang kedua-dua Kursi ini harus bekerjasama dalam menggalakkan perpaduan dan keupayaan, terutamanya dengan perkongsian nilai-nilai Sheikh Zayed dan Tun Hussein Onn. Ia penting memahami keharmonian, toleransi dan perpaduan merupakan asas kejayaan sesebuah negara,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, beliau mengadakan pertemuan bersama Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan, Mohammed Ahmed Al Boward.
“Malaysia diberi penghormatan tertinggi dengan saya menerima Kawalan Kehormat daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera UAE.
“Saya dan Mohammed Ahamed mengadakan mesyuarat dua hala yang menumpukan terhadap hubungan pertahanan akrab antara Menteri dan angkatan tentera masing-masing. Mesyuarat berjalan lancar, amat membina sekali gus membawa kepada beberapa kesepakatan penting.
“Antaranya, mengadakan latihan dua hala bersama antara ATM dan angkatan tentera UAE. Latihan ini tertumpu di kawasan darat khususnya melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan angkatan darat UAE,” katanya.
Dalam pada beliau turut menyampaikan jemputan kepada Mohammed Ahmed untuk hadir ke Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada 23 hingga 27 Mei tahun depan. – UTUSAN