PETALING JAYA: Malaysia membuktikan komitmennya terhadap transformasi pendidikan menerusi pelbagai inisiatif di Sidang Kemuncak Transformasi Pendidikan (TES) 2022 anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, komitmen itu bagi memastikan sistem pendidikan negara lebih saksama, inklusif, relevan dan berdaya tahan dalam menghadapi apa jua krisis seperti wabak Covid-19 baru-baru ini dan sebarang kejutan pada masa hadapan.
Katanya, salah satu langkah transformasi utama yang dilakukan adalah membentuk semula pendekatan terhadap pembelajaran awal dan perkembangan kanak-kanak selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
“Kami mahu memupuk nilai, sikap dan tingkah laku yang positif sambil menangani keperluan asas dari segi kesihatan mental dan kesejahteraan murid sekolah.
“Itulah sebabnya kami telah memperkenal konsep menyeluruh yang dipanggil Sekolahku Sejahtera pada 2021. Kami menggariskan 14 elemen yang boleh diintegrasikan oleh guru dengan lancar ke dalam pembelajaran harian untuk menyemai nilai positif,” katanya dalam sidang secara maya.
Tambahan , kata Ismail Sabri, Malaysia mengutamakan sistem data amaran awal untuk merancang intervensi bersasar dan mengurangkan kadar keciciran.
“Malaysia juga telah memasukkan komponen Education for Sustainable Development (ESD) dan Global Citizenship Education (GCED) ke dalam kurikulum kebangsaan untuk menggalakkan budaya keamanan, tanpa kekerasan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia dalam kalangan pelajar,” katanya.
Kata beliau, satu lagi inisiatif dalam sektor pendidikan ialah menekankan semula pembelajaran digital dengan membolehkan pembelajaran dalam talian dan berasaskan komputer melalui Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).
“Kami percaya dalam mengukuhkan rangka kerja dasar pendidikan digital, ia diteruskan dengan membangun dan menaik taraf struktur maklumat dan infrastruktur ICT di semua sekolah.
“Ini akan melengkapkan guru dengan peralatan yang betul bagi menggalakkan pembelajaran digital dan memastikan pelajar celik digital dan kecekapan digital dalam kita menuju ke generasi masa depan yang lahir dengan digital,” katanya.
Di samping itu, katanya, Malaysia menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat terhadap pembangunan kemahiran, keupayaan inovasi yang mampan dalam sistem pendidikan sebagai sebahagian daripada usaha transformasi.
“Kami sedang menggalakkan kurikulum Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan aktiviti ko-kurikulum bagi menyediakan pelajar pengalaman pembelajaran holistik.
“Sebagai langkah ke hadapan, kami mengesahkan komitmen kami dalam menyokong, melibatkan diri dan bekerjasama dengan semua pemegang taruh utama untuk memastikan tiada kanak-kanak tertinggal.
“Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan sememangnya merupakan tanggungjawab global dan bersama-sama kita komited untuk mengubah pendidikan dalam mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya. – UTUSAN