KUALA LUMPUR: Mahasiswa golongan M40 yang merupakan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menerima pembiayaan penuh bagi pengajian masing-masing serta layak menerima pinjaman komputer riba.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapati mahasiswa M40 hanya menerima pembiayaan pinjaman sebanyak 75 peratus daripada PTPTN, dengan selebihnya perlu ditanggung sendiri.
“Kalau dulu pinjaman kepada M40 adalah hanya 75 peratus, saya mengumumkan di sini bahawa untuk pinjaman pada mahasiswa M40, kita akan naikkan kepada 100 peratus.
“Seterusnya adalah laptop (komputer riba). Kerajaan bersetuju menyediakan kemudahan pinjaman laptop kepada peminjam PTPTN bagi golongan M40.
“Mahasiswa percayalah, banyak lagi yang akan diumumkan demi kepentingan mahasiswa dan mahasiswi sekalian,” katanya ketika merasmikan majlis Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi 2022 di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau menyokong usaha Kementerian Pengajian Tinggi meringankan beban mahasiswa yang turut berdepan isu kos sara hidup ketika ini.
“Memandangkan kos sara hidup masih tinggi termasuk dalam kalangan mahasiswa, saya dimaklumkan Menteri Pengajian Tinggi bahawa jualan murah akan diadakan di setiap universiti, di setiap institut pengajian tinggi mulai Oktober ini, selepas mahasiswa memasuki semula universiti,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri menyeru mahasiswa supaya memberikan komitmen dalam memartabatkan bahasa Melayu.
“Baru-baru ini, pengarah filem tersohor negara, U-Wei Saari telah memecahkan tradisi Festival Filem Antarabangsa di Moscow apabila menyampaikan ucapan dan mengumumkan nama pemenang menggunakan bahasa Melayu.
“Justeru, saya menyeru seluruh mahasiswa untuk memberikan komitmen dalam memartabatkan bahasa Melayu. Ini adalah satu cara untuk menyatakan kecintaan kita kepada negara. Saya sendiri menggunakan bahasa Melayu ketika berucap di pentas antarabangsa,” katanya. – UTUSAN