Mahasiswa Jepun kagum sambutan meriah Bulan Kemerdekaan

Mahasiswa Jepun kagum sambutan meriah Bulan Kemerdekaan

SERAMAI 13 penuntut Universiti Tokyo menghadiri Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan di Marsah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sekumpulan pelajar Jepun kagum dengan semangat patriotik dan cintakan negara yang ditonjolkan generasi muda negara ini sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-65, tahun ini.

Seorang Mahasiswa Jurusan Bahasa Melayu di Universiti Tokyo, Reon Shimizu, 20, berkata, sambutan kemerdekaan di negara ini jauh lebih meriah berbanding di negara asalnya.

“Di Jepun kita juga ada sambutan serupa, namun ia tidak disambut seperti ini. Di Malaysia ia seperti satu hari perayaan. Saya memilih untuk mempelajari bahasa Melayu dan budaya masyarakatnya kerana tertarik dengan seorang pelakon Malaysia, iaitu P. Ramlee (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee).

“Saya juga tertarik dengan bahasa Melayu kerana di Malaysia, ia dituturkan oleh berbilang kaum termasuk orang Melayu, Cina, India dan juga rakyat negara lain,” katanya ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah), di sini, semalam.

Seorang lagi mahasiswa, Ichika Hiramatsu, 20, yang turut kagum dengan sambutan pernuh bersemangat Bulan Kemerdekaan pula tertarik untuk mempelajari bahasa Melayu kerana amat menggemari budaya di Asia Tenggara.

“Saya suka dengan budaya di negara-negara Asia Tenggara dan selepas membuat kajian saya dapati bahasa Melayu antara bahasa yang popular dan dituturkan di beberapa buah negara di rantau ini.

“Perkara itu menyebabkan saya memilih untuk mempelajari bahasa Melayu, namun setelah setahun setengah mempelajarinya, saya masih belum dapat menguasainya dengan baik, saya akan usaha lagi,” katanya yang mahu membawa ahli keluarganya melawat Malaysia suatu hari nanti.

Ichika Hiramatsu turut menggemari juadah tempatan seperti nasi lemak, roti canai dan sate kerana makanan tersebut tidak terdapat di Jepun.

“Dalam tempoh 18 hari berada di Malaysia, saya dan rakan-rakan berpeluang mengunjungi beberapa kawasan iaitu Putrajaya, Perak, Sarawak dan Johor,” ujarnya.

Bagi Wakana Kato, 20, pula mula mempelajari bahasa Melayu setelah tertarik dengan kepelbagaian tarian masyarakat berbilang kaum yang terdapat di negara ini.

“Saya suka menari dan di Malaysia terdapat pelbagai jenis tarian tradisional yang berbeza mengikut budaya dan negeri asal. Ini faktor yang menarik minat saya untuk mempelajari bahasa Melayu pada awalnya.

“Namun setelah mendalami bahasa dan budaya masyarakat di sini, saya dapati banyak perkara yang menarik minat saya selain daripada tarian, seperti muzik, makanan dan budaya tempatan.

“Selain itu, dengan mempelajari Bahasa Melayu, saya juga dapat berkomunikasi dengan ramai orang dari pelbagai negara, antaranya Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura,” jelasnya yang berasal dari Aichi, Jepun.

Sementara itu, Rektor Marsah, Dr. Hussin Salamon pula memberitahu, penganjuran program berkenaan dapat membuka minda penuntut untuk lebih mengenali budaya masyarakat antarabangsa.

“Selain mengenali individu yang latar belakangnya jauh berbeza, mereka juga dapat belajar dan berkomunikasi dengan pelajar sebaya yang mempunyai jalan hidup berlainan sama sekali.

“Selepas program ini, kami berhasrat membuka pengajian kepada penuntut Jepun yang berminat untuk belajar di Marsah, khususnya mereka yang beragama Islam,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya