Lokman Adam mengaku tidak bersalah hina PM, kerajaan

Lokman Adam mengaku tidak bersalah hina PM, kerajaan

LOKMAN NOR ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, 49, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran jelik terhadap kerajaan dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Lokman yang didakwa sebagai Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Berdasarkan pertuduhan, Lokman didakwa membuat dan memulakan penghantaran jelik pada 22 Ogos lalu melalui aplikasi Facebook atas nama profil ‘Lokman Noor Adam Official’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Hantaran itu kemudian dibaca pada pukul 11.30 pagi, 23 Ogos 2022 di sebuah restoran di Jalan Sentul di sini.

Bagi pertuduhan kedua, Lokman didakwa membuat dan memulakan hantaran jelik pada 20 Ogos lalu dengan menggunakan akaun Facebook sama dan telah dibaca pada pukul 8.15 pagi, 24 Ogos lalu di Jalan Tung Shin, Bukit Bintang.

Lokman didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Prosiding hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim dan Nadia Mohd Izhar manakala Lokman diwakili peguam bela, Logen Eskander.

Nadia mencadangkan ikat jamin sebanyak RM15,000 atas alasan kes membabitkan kepentingan awam dan Lokman juga sedang melalui dua kes lain berkaitan Ordinan Darurat.

Selain itu, Nadia juga mohon kepada mahkamah supaya OKS tidak dibenarkan untuk membuat sebarang kenyataan atau komen di mana-mana medium media sosial berkaitan kes itu.

Ketika mengemukakan rayuan berhubung Logen memohon supaya jaminan ditetapkan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan kerana Lokman kini bekerja sebagai penjual sate dengan pendapatan yang tidak menentu.

“OKS telah berkahwin dan mempunyai 11 anak yang masih belajar. Dengan pendapatan yang tidak menentu, OKS menampung perbelanjaan keluarga dan persekolahan anak-anak.

“OKS merupakan seorang yang dihormati dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat. Beliau juga pernah memegang jawatan Exco untuk Pergerakan Pemuda UMNO bagi tahun 2008 hingga 2013,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 September untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya