Legasi Dr. Adeeba untuk masyarakat - Utusan Malaysia

Legasi Dr. Adeeba untuk masyarakat

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah menyampaikan Anugerah Merdeka kepada Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman adalah nama yang tidak asing lagi dalam bidang perubatan kerana sumbangan dalam pengawalan penyakit berjangkit di negara ini terutama HIV/AIDS.

Sebagai salah seorang pelopor dalam program pengawalan penyakit berjangkit, idea dan sumbangan beliau telah memberi impak terhadap pencegahan, rawatan dan penyelidikan penyakit berjangkit dan HIV/AIDS di negara ini selama lebih 30 tahun.

Ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19, Dr. Adeeba merupakan salah seorang wira yang tidak didendang yang menjadi hero di belakang tabir bagi mengekang penularan wabak maut itu.

Atas segala jasa dan sumbangan itu maka beliau telah terpilih sebagai penerima Anugerah Merdeka bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi untuk 2022.

“Saya sedar tentang Anugerah Merdeka sejak penubuhannya dan ia sentiasa menjadi anugerah yang kita semua anggap yang sangat berprestij. Jadi sebagai penerima, sudah tentu, ia amat berbesar hati untuk menerimanya,” katanya dalam satu temu bual.

Dr. Adeeba adalah lulusan dari Universiti Monash pada tahun 1987 dan dilatih dalam perubatan dalaman dan penyakit berjangkit di Pusat Perubatan Monash dan Hospital Penyakit Berjangkit Fairfield, Melbourne, Australia.

“Seperti semua doktor, saya bermula dari bawah dan apabila saya kembali ke Malaysia, penyakit berjangkit – bidang yang saya pakar adalah bidang yang agak baru di Malaysia.

Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman (dua dari kiri), Pengerusi dan Naib Presiden Kanan Huluan Shell Malaysia, Ivan Tan (kanan) serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Tengku Taufik (kiri) serta barisan pemegang amanah Anugerah Merdeka.

“Saya memulakan satu unit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan membina kepakaran klinikal di sekelilingnya. Saya berbangga untuk mengatakan bahawa sekarang, bersama-sama dengan rakan sekerja di Kementerian Kesihatan, kita mempunyai pasukan penyakit berjangkit yang besar.

“Kami sudah tentu memerlukan lebih banyak lagi dan anda melihat peranan yang kami mainkan dalam Covid-19.” katanya yang kini kini berkhidmat sebagai Profesor Perubatan dan Penyakit Berjangkit di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.

Bermula daripada penglibatan awal itu, beliau kemudian terlibat dalam Majlis AIDS Malaysia yang membolehkannya berada bersama dengan masyarakat dan organisasi berasaskan komuniti.

Dalam hal kemasyarakatan pula, selain sebagai bekas presiden Majlis AIDS Malaysia, Dr. Adeeba kini adalah pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, di mana beliau mengumpul dana untuk program pencegahan, rawatan dan penjagaan HIV untuk menangani masalah HIV/AIDS di Malaysia.

Apabila Profesor Dr. Adeeba menubuhkan Unit Penyakit Berjangkit di PPUM pada tahun 1996, kepimpinan beliau telah membawanya menjadi salah satu pusat rujukan HIV/AIDS yang terkemuka di negara ini.

Seterusnya pada 2008, beliau menubuhkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dalam AIDS (CERiA) di Universiti Malaya salah satu daripada beberapa pusat di rantau ini yang khusus untuk penyelidikan HIV/AIDS.

Sebagai Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya pula, Dr. Adeeba telah memberi sumbangan besar kepada universiti itu apabila membantu merombak kurikulum perubatan untuk melatih doktor yang paling kompeten untuk negara.

Namun pada beliau secara peribadi, pencapaian yang paling bermakna adalah apabila berjaya meyakinkan kerajaan untuk melaksanakan program jarum picagari bagi mengurangkan bahaya jangkitan HIV/AIDS, dan kementerian Kesihatan mula merawat mereka yang ketagihan dadah dengan metadon.

“Saya rasa dalam masa kira-kira tujuh tahun kami dapat mencegah kira-kira 14,000 jangkitan baharu dan jika mengunjurkannya hingga 2050, kami mungkin telah menghalang ratusan ribu jangkitan HIV baharu yang secara semula jadi diterjemahkan perjimatan berjuta-juta ringgit,” katanya.

Seorang seorang profesional yang kepakarannya sangat diperlukan, Dr. Adeeba turut dilantik sebagai ahli jawatankuasa antaranya Persatuan Penyakit Berjangkit Antarabangsa, Majlis Tadbir Persatuan AIDS Antarabangsa, Kumpulan Penasihat Strategik dan Teknikal WHO mengenai HIV dan Panel Pakar Saintifik UNAIDS.

Dr. Adeeba menjadi Presiden Asia pertama Persatuan AIDS Antarabangsa apabila beliau dilantik ke jawatan itu pada tahun 2020.

Terbaharu, Dr. Adeeba juga menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Global Polisi Dadah.

Sumbangan Dr. Adeeba dalam dunia perubatan telah mendapat banyak pengiktirafan termasuk Anugerah Fellowship Australia-Asia pada tahun 2001, Anugerah Tun Mahathir serta Anugerah Global Advance Australia dalam Kategori Alumni pada tahun 2012.

Dia juga dinamakan sebagai salah seorang daripada 20 saintis wanita paling berpengaruh di dunia Islam.

Berkongsi mengenai kejayaan yang dicapainya, Dr, Adeeba berkata beliau sentiasa bersikap optimis.

Beliau juga sentiasa berusaha memupuk budaya kecemerlangan dalam kalangan kakitangan akademik atau NGO yang dipimpin terutama dalam bidang perkhidmatan klinikal yang diceburi termasuk melahirkan generasi pelapis sebagai pakar dalam bidang penyakit berjangkit.

“Ia sentiasa mengenai kecemerlangan, sentiasa mengenai melakukan yang terbaik yang termampu untuk melakukan perubahan, untuk melakukan kebaikan. Saya rasa itulah cara yang mendapati diri saya telah ditarik dan bekerja dengan yang terbaik di dunia,” katanya.

Dr. Adeeba berharap, Anugerah Merdeka yang diterimanya itu juga akan memberi inspirasi kepada yang lain terutama pelajar dan rakan akademiknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya