KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) diminta menjalankan kajian lanjut bagi memastikan nilai komersial industri buluh dapat dipertingkat.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun sudah 10 tahun Sambutan Hari Buluh Sedunia, perkembangan industri itu masih perlahan.
Bagaimanapun, katanya, belum terlalu lambat untuk mengambil langkah memastikan negara bergerak ke hadapan dalam industri buluh.
“Saya juga harap Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) mengambil langkah-langkah lebih agresif untuk pengurusan serta penanaman buluh bagi tujuan komersial.
“Ini kerana dunia sudah mula bercakap dan menggunalan produk-produk daripada buluh. Sampai ada bangunan, baju serta pelbagai produk lain diperbuat menggunakan tanaman tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Bamboo Sedunia Malaysia (WBD), di sini, hari ini.
Pada tahun lalu, industri perkayuan menyumbang sebanyak RM22.7 bilion kepada pendapatan eksport negara dengan peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding nilai eksport pada 2020.
Bagi nilai eksport produk buluh pada 2021 pula, sebanyak RM8.41 dicatat dan ia dilihat masih lagi rendah kerana nilai import produk buluh pada tahun sama adalah RM89.23 juta.
Zuraida berkata, potensi buluh sangat besar untuk masa depan dan pertumbuhan ekonomi negara, oleh itu perlu dijadikan sebagai satu bidang agrikomoditi bagi menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat.
“FRIM memainkan peranan sangat penting kerana sudah menemui pelbagai jenis buluh. Jadi kita nak minta FRIM melangkah satu langkah ke hadapan lagi untuk mengenal pasti buluh yang berkualiti tinggi dan bagus untuk dikomersialkan.
“Sekiranya kita dapat komersialkan tumbuhan tersebut maknanya pendapatan juga meningkat, kita boleh fokus menanam buluh berkualiti tinggi.
“Negara seperti China dan India, mereka hanya ada tumbuhan tersebut tetapi tidak fokus dari segi teknologi serta kajian untuk meningkatkan kualiti atau produktiviti. Malaysia lebih kehadapan dalam industri komoditi ini dari segi teknologi,” jelasnya. – UTUSAN