'Kukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa' - PM - Utusan Malaysia

‘Kukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa’ – PM

ISMAIL Sabri Yaakob
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa semakin bertambah usia Malaysia, cabaran dan ancaman yang dihadapi negara kian besar serta bertambah kompleks.

Beliau berkata, musuh yang memecahbelahkan hadir dalam bentuk ekonomi, politik dan sosial, selain anasir-anasir luar juga giat berusaha menggugat kestabilan serta ketenteraman bangsa dan negara.

Jelas Perdana Menteri, seandainya anasir berkenaan dibiar berleluasa dan akhirnya memuncak, ia dibimbangi akan menjadi ancaman kritikal yang boleh mengancam perpaduan.

“Laksana bara yang mula menyalakan puntung, menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung akan menyemarakkan api permusuhan, mencetuskan perselisihan kaum dan agama yang boleh melemahkan Keluarga Malaysia, seterusnya memusnahkan negara.

“Umpama bidalan, ‘kukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa’.

“Memupuk perpaduan Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya dan taraf sosioekonomi merupakan agenda besar lagi penting bagi kerajaan. Demi kelangsungan sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Malaysia di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini malam tadi.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey G. Kitingan.

Tambah Perdana Menteri, konsep ‘Tasamuh’ yang digariskan Islam iaitu hidup saling bertoleransi, harmoni dan selesa, menjauhi diri daripada sifat prasangka serta curiga mampu dirai dan dihargai oleh semua dengan hati terbuka.

Tegasnya, Malaysia dibentuk dan dibangunkan dengan memberikan jaminan keadilan, perlindungan dan hak kepada pelbagai kaum.

“Semua ahli Keluarga Malaysia, bebas mengamalkan budaya warisan bangsa, menguasai pelbagai bahasa serta menganut agama yang dianuti dari leluhur masing-masing,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya