REMBAU: Seekor kucing batu atau nama saintifiknya Prionailurus bengalensis ditemukan mati di percayai dilanggar kenderaan di Jalan Bongek-Gadong menghala ke Gunung Datuk, di sini, petang semalam.
Penduduk, Shaari Idris, 63, berkata, kejadian berkenaan merupakan kejadian kali kedua berlaku selepas kejadian kali pertama pada awal tahun lalu.
Menurutnya, populasi kucing batu atau lebih dikenali sebagai kucing hutan oleh penduduk itu memang banyak di sekitar kawasan berkenaan disebabkan faktor hutan serta ladang kelapa sawit.
“Kali pertama dulu dilanggar, kali kedua pun sama melihat kepada kesan kecederaan haiwan ini.
“Kebiasaannya memang pemandu akan laju melalui kawasan ini terutamanya pada waktu malam disebabkan jalan sunyi.
“Rasa kesiannya juga lebih-lebih lagi haiwan ini merupakan haiwan yang dilindungi di negara ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Bongek, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli berkata, ia merupakan kejadian kedua di lokasi yang sama dan pihaknya ke lokasi bagi tindakan selanjutnya.
Kucing batu adalah spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. –UTUSAN