Kuasa mengampun tidak wajar diguna sewenang-wenangnya

Kuasa menghukum, ampun tidak wajar diguna sewenang-wenangnya – Agong

AL-SULTAN ABDULLAH Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan menandatangani plak perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana bakal dipertanggungjawabkan kelak di kemudian hari.

Baginda bertitah, jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil, maka keadilan tidak tercapai kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda.

Akibatnya, titah Seri Paduka, pihak yang lemah menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa. 

Maka, titah Al-Sultan Abdullah, titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman akan berlaku dalam sesuatu sistem pemerintahan. 

“Prinsip melaksanakan keadilan dalam Islam difirmankan oleh Allah SWT seperti termaktub dalam surah an-Nisaa, ayat ke-135.

“Menerusi ayat tersebut, keadilan Islam tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan, sama ada diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga mahupun ibu bapa. 

“Ketegasan prinsip keadilan Islam turut tidak membenarkan sebarang ketidakadilan kepada sesiapa jua, termasuk kepada golongan mereka yang tidak disenangi,” titah baginda pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang yang diberi nama Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah di Indera Mahkota, di sini hari ini. 

Berkenan berangkat sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Al-Sultan Abdullah bertitah, perintah Allah SWT seperti yang terkandung dalam surah an-Nisaa, ayat ke-135 telah dikukuhkan lagi dengan hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu iaitu sekiranya yang mencuri itu yang berpangkat tinggi, lalu mereka dibiarkan sahaja tetapi jika yang mencuri itu mereka yang lemah, lalu dengan segera dijatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, yang aku di dalam kekuasaannya. Kalaulah Fatimah Muhammad mencuri; nescaya aku potongkan tangannya.”

“Hakikatnya, undang-undang hanya memiliki satu bahasa, satu prinsip, satu hukuman dan satu aplikasi kepada sesiapa sahaja. Keadilan yang diamalkan tanpa memilih kasih telah berjaya mengangkat martabat Islam pada zaman Rasulullah SAW,” titah Seri Paduka.

Baginda bertitah, prinsip keadilan menurut Islam; adalah menjunjung amanah tuhan dan bukannya mewakili kuasa tuhan.

Justeru titah baginda, Mahkamah Syariah hendaklah sebilang masa mempunyai kecekapan dalam mengendalikan kes-kes agar keadilan akan tercapai.

“Hakim-hakim syarie hendaklah memastikan kes-kes yang dikendalikan dapat dihakimi dengan seadil-adilnya dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan segera.

“Para pegawai mahkamah dan peguam syarie turut bertanggungjawab secara kolektif untuk menentukan prosiding mahkamah berjalan lancar. Hakikatnya, roh keadilan yang dituntut oleh Islam wajib dihayati dan ditaati,” titah Seri Paduka. 

Baginda bertitah, para hakim syarie, pegawai mahkamah dan peguam syarie mempunyai tanggungjawab kepada pihak yang dibicarakan, tanggungjawab sosial kepada negara untuk mempertahan integriti mahkamah dan tanggungjawab untuk melindungi agama suci Allah SWT. 

“Natijahnya, keadilan tidak akan tercapai jika roh keadilan tidak terkandung dalam sanubari mereka yang telah diberikan amanah untuk mentadbir keadilan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah dalam pada itu bertitah, perasmian dan pemasyuran bangunan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang menjadi simbolik serta mercu tanda kepada ketinggian institusi Mahkamah Syariah di Malaysia.

“Saya disembah maklum bahawa pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang ini siap sepenuhnya pada 23 September 2021 dengan peruntukan RM44.75 juta.

“Alhamdulillah pada hari ini hampir kesemua negeri di Malaysia telah memiliki kompleks perundangan syariah yang lengkap bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat,” titah baginda. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya