KOTA BHARU: Mutakhir ini, konflik antara manusia dengan gajah semakin menjadi-jadi apabila haiwan itu dilihat kerap ‘menceroboh’ masuk ke kawasan kebun milik penduduk untuk mencari makanan.
Situasi itu dapat dilihat bermula pada Februari lalu apabila seekor gajah berusia 30 tahun dan seberat dua tan telah menceroboh masuk ke kawasan kebun milik penduduk Kampung Jerek di Jeli.
Masalah itu kemudian menular di Kuala Krai apabila beberapa buah kampung di sekitar Lata Rek seperti Tok Uban, Kubang Kerian dan Catan berdepan ancaman haiwan liar itu sejak 26 Mei lalu.
Pada 24 Ogos lebih 500 penduduk di Kampung Pulau Setelu, Gua Musang dibelenggu ketakutan apabila seekor gajah liar jantan yang kelaparan menceroboh masuk kampung untuk mencari makanan di kebun mereka.
Terbaharu penduduk di Kampung Sungai Peria dan Lepan Jenut turut dihantui ketakutan apabila haiwan liar yang digelar dengan jolok ‘orang besar’ mula masuk ke kawasan kebun mereka untuk mencari makan.
Difahamkan gajah liar itu keluar selepas kawasan hutan yang merupakan habitat asal mereka diceroboh bagi tujuan pembakalan dan pembukaan ladang-ladang hutan.
Struktur tanah yang berbukit dan dilitupi dengan hutan tebal merupakan habitat asal untuk gajah-gajah liar di negeri ini.-UTUSAN