PETALING JAYA: Penyanyi, Dr. Fitri Haris bersyukur, namun tidak meletak harapan tinggi lagu kolaborasi pertamanya dengan Zarul Umbrella, Syuhud Kalbu untuk merangkul trofi Lagu Nasyid Terbaik, Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM 23) yang bakal berlangsung Ahad ini.
Fitri berkata, dicalonkan dalam senarai lima terbaik merupakan pencapaian membanggakan dan kemenangan adalah bonus yang pastinya menjadi pemangkin semangatnya untuk terus berkarya.
“Sekarang zaman digital dan kita sedia maklum, nilai pengkormesialan berbeza dengan era kami dahulu, terutama dalam genre nasyid. Penting bagi saya dan abang Zarul untuk menghidangkan karya yang kreatif dan berkualiti.
“Alhamdulillah, pihak juri nampak dan karya kami dinilai sewajarnya sehingga layak menembusi kategori Lagu Nasyid Terbaik,” katanya.
Syuhud Kalbu yang dilancarkan April lalu, merupakan lagu ciptaan komposer terkenal, Azmeer dan lirik ditulis bersama Fitri sendiri.
Selain Syuhud Kalbu, lagu Thank You Allah (Datin Alyah duet Cat Farish dan Haris Ismail), Selimut Kasih (In Team), Linangan Laduni (Darwish) dan Hasbunallah (One Path) bakal berentap merebut trofi itu.
AIM 23 yang bakal berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyaksikan 21 kategori dipertandingkan dengan 605 pencalonan.
Edisi kali ini menyaksikan gabungan tiga selebriti popular, Sherry Alhadad, Awal Ashaari dan Azad Jasmin sebagai pengacara.
Pentas AIM 23 juga akan menyajikan persembahan penyanyi popular tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nikki Palikat, Aina Abdul, Liza Hanim dan Ella .