SEPANG: Setelah suku abad beroperasi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka beralih kepada sistem Aerotrain paling baharu menjelang 13 Mac 2025.
Menurut Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood, ketika ini fasa pertama bermula 14 Mac lalu melibatkan proses reka bentuk tren.
“Kita bukan sekadar ganti gerabak lama yang digunakan sejak 1998, malah seluruh sistem dengan pemasangan pada fasa kedua bermula 14 Mac 2023,” katanya pada sidang akhbar selepas membentangkan perkembangan terkini Program Penggantian Aerotrain KLIA yang turut dihadiri Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Pada 27 Disember lalu, operator terminal itu mengumumkan proses penggantian Penggerak Penumpang Automatik (APM) atau Aerotrain susulan tren lama sering kali berdepan masalah.
Iskandar Mizal berkata, kelewatan tren baharu itu bukan disengajakan tetapi telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk perlu memenuhi spesifikasi pelbagai agensi.
“Kita tidak mahu ganti APM yang kemudian asyik rosak seperti sekarang terpaksa beroperasi dengan jadual terhad selama 17 jam setiap hari disebabkan faktor usia sudah tua. Sehubungan itu MAHB terpaksa memaksimumkan perkhidmatan bas ulang-alik yang berfungsi 24 jam setiap hari melibatkan sembilan buah sebagai mod pengangkutan alternatif.
“Bagaimanapun MAHB berbangga kerana tren sekarang berjaya mengangkut lebih 300 juta penumpang selepas 24 tahun beroperasi dan turut terkenal menjadi imej unik KLIA. Justeru, kita optimis penggantian APM baharu akan melonjakkan keupayaan pergerakan penumpang antarabangsa di KLIA sejajar tarafnya sebagai hab udara ternama bagi negara ini,” katanya. – UTUSAN