Kilang terbiar proses arak haram, rampasan lebih RM4j - Utusan Malaysia

Kilang terbiar proses arak haram, rampasan lebih RM4j

RUSLAN Khalid (dua dari kanan) membuat pemeriksaan di sebuah kilang terbiar yang dijadikan tempat memproses arak secara haram di Kampung Orang Asli Broga, Lenggeng dekat Nilai, Seremban. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kegiatan sebuah kilang terbiar yang dijadikan tempat memproses arak secara haram di Kampung Orang Asli Broga, Lenggeng dekat Nilai di sini terbongkar dalam serbuan Op Kontraban yang dijalankan baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai peralatan dan mesin memproses arak dengan nilai keseluruhan berjumlah RM4 juta serta sebanyak 22,848 tin arak haram yang dianggarkan bernilai RM182,784.

Katanya, serbuan pada pukul 5.30 petang, 25 Ogos lalu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Menurut beliau, tiga orang lelaki warga Myanmar berusia 30-an yang merupakan pekerja di premis tersebut dan dua lelaki tempatan berusia 40-an ditahan.

“Ketika serbuan, dipercayai terdapat lima pekerja warga Myanmmar sedang menjalankan operasi memproses arak namun difahamkan dua daripada mereka berjaya melarikan diri melalui pintu ‘rahsia’ bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Ini merupakan serbuan kilang memproses arak secara haram yang pertama dan terbesar di Negeri Sembilan di mana sindiket memproses arak dalam masa sama membuat pembungkusan dalam kotak sebelum dipasarkan di dalam dan luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Ruslan, taktik sindiket yang aktif sejak dua tahun lalu itu adalah dengan menyewa sebuah kilang terbiar dengan menggunakan pintu utama di bahagian belakang seolah-olah premis tidak didiami.

“Kilang itu dipercayai menggaji seramai 12 orang pekerja warga Myanmar malah premis itu turut dijadikan tempat tinggal mereka,” katanya yang memberitahu pasport kesemua mereka didapati telah tamat tempoh.

Tambah beliau, hasil siasatan lanjut, pihak polis menahan dua lelaki tempatan berusia 40-an selepas kedua-dua suspek hadir memberi keterangan di IPK Negeri Sembilan.

“Kesemua tangkapan direman selama 12 hari bermula 25 Ogos hingga 5 September depan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya