TAIPING: Kes letupan bom ikan yang berlaku di Hutan Lipur Lata Kekabu di Lenggong semalam adalah yang pertama melibatkan kematian tahun ini.
Pengarah Perikanan Negeri, Noraishah Hashim berkata, kes seumpama itu juga berlaku di daerah-daerah lain namun ia sukar dikesan kerana dilakukan secara bersembunyi.
“Kes (tangkap ikan secara haram) ini ada tetapi tidak banyak sangat. Ia memang berlaku di semua daerah cumanya kes semalam adalah pertama melibatkan kematian.
“Kebanyakan mereka ini jalankan aktiviti pada awal pagi atau lewat petang, jadi sukar diketahui.
“Biasanya mereka ini gunakan peralatan terlarang secara sembunyi, jika ada aduan kita akan jalankan siasatan dan selalunya kes begini kita dapat tangkap termasuk melibatkan nelayan,” katanya ketika ditemui dalam Program Kesedaran Pematuhan myGAP (Malaysian Good Aquaculture Practice) dan Pensijilan Jabatan Perikanan Malaysia peringkat negeri di sini hari ini.
Program tersebut dirasmikan Pengerusi Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria.
Menurut Noraishah, pemantauan mendapati, banyak kes melibatkan nelayan sungai menggunakan bahan letupan, tuba atau meracun ikan bagi mendapatkan hasil yang banyak.
“Aktiviti itu bukan sahaja mendatangkan risiko besar kepada habitat ikan, tetapi berbahaya kepada nelayan dan boleh menyebabkan kematian,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 3 petang itu, mangsa, Amirudin Khairudin, 44, maut di tempat kejadian manakala rakannya berusia 40 tahun cedera parah.
Siasatam awal mendapati kejadian yang meragut nyawa itu akibat terkena bahan letupan ketika menghasilkan bom ikan.
Mangsa dipercayai menghasilkan sendiri bom tersebut berikutan penemuan peralatan dan mercun bola di lokasi kejadian. – UTUSAN