Kes demam denggi meningkat di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Kes demam denggi meningkat di Pulau Pinang

AKTIVITI kawalan vektor yang melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan nyamuk aedes merupakan antara tindakan bagi mencegah kes demam denggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kes demam denggi di Pulau Pinang meningkat 93.2 peratus iaitu 595 kes, direkodkan sehingga 24 September lalu, berbanding tempoh sama pada 2021 iaitu hanya 308 kes.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ma’arof Sudin berkata, bagaimanapun tiada kematian membabitkan kes denggi dicatatkan tahun ini.

Menurut beliau, jumlah kes pada tahun ini bagaimanapun lebih rendah berbanding jumlah kes sebelum pandemik Covid-19 iaitu penurunan 26.2 peratus pada 2020 (806 kes) dan penurunan sebanyak 83.4 peratus (3,574 kes) pada 2019.

“Wabak denggi yang dilaporkan sehingga 24 September lalu adalah sebanyak 42 wabak, berbanding tujuh wabak pada tempoh sama tahun lalu. Daripada 42 wabak denggi yang dilaporkan, 33 wabak tamat manakala sembilan wabak masih aktif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, aktiviti kawalan dan pencegahan dijalankan untuk semua kes dan wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

“Sebagai contoh, aktiviti kawalan vektor yang melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan dijalankan untuk setiap kejadian kes tunggal (single case) atau wabak,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, sehingga 24 September lalu, sejumlah 312,711 premis diperiksa dan 445 kompaun dengan nilai RM222,500 dikeluarkan kepada pemilik premis yang ditemukan terdapat pembiakan nyamuk Aedes.

Jelas beliau, tindakan kompaun dibuat di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 (Akta 154).

“Bagi memastikan penyakit demam denggi tidak terus merebak dan mengancam kesihatan penduduk di negeri Pulau Pinang, seluruh lapisan masyarakat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab mencegah tempat pembiakan nyamuk ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya