KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) perlu memenangi sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Liew Chin Tong berkata, PH perlu menang lebih banyak kerusi jika ingin membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan selepas PRU15.
Beliau berkata, sasaran ditetapkan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin untuk PH Sabah menang 10 kerusi akan menyumbang kepada jumlah kerusi yang akan dimenangi seluruh negara pada PRU akan datang.
Chin Tong berkata, DAP juga akan memberi sokongan penuh kepada Datuk Christina Liew untuk terus mempertahankan kerusi Parlimen Tawau.
Beliau percaya dengan kerjasama erat antara DAP dan PKR, mereka pasti boleh memenangi kerusi Parlimen Tawau serta kerusi-kerusi lain di Sabah.
“Kami akan menyokong Christina untuk menang bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) memenangi banyak kerusi. Kami akan bekerja keras di Sri Tanjung bagi memastikan PKR menang.
“Walaupun DAP tidak bertanding di Tawau pada PRU15 namun, parti itu akan meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi pilihan raya,” katanya selepas lawatan ke Pejabat Parlimen Tawau semalam.
Sementara itu, Foong Hin berkata, DAP Tawau akan menyokong Christina untuk mempertahankan kerusi Parlimen tersebut.
“Kepercayaan dan hubungan baik antara DAP dan PKR dalam PH amat penting. Maka, tidak patut ada sebarang rasa sangsi dengan hubungan baik yang terjalin ini.
“Kami sedang menuju ke arah satu landasan yang sama iaitu memastikan PH tidak tewas dalam mempertahankan kerusi yang disandang pada masa ini. Sokongan pengundi Sri Tanjung akan menyumbang kepada kemenangan PKR bagi mempertahankan kerusi Parlimen Tawau,” katanya.
Pengarah Pilihan Raya DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, pemimpin peringkat akar umbi juga bersetuju untuk menggerakkan jentera pilihan raya bermula dari sekarang.
“Kami mempunyai hala tuju dan sasaran yang cukup jelas dalam memastikan semua jentera bekerjasama di peringkat akar umbi. DAP dan PKR akan saling bantu-membantu. Kerusi Parlimen Tawau ini amat penting kerana jika tewas satu kerusi bermakna, itu akan mengurangkan peluang kami membentuk kerajaan yang akan datang,” katanya.
Pada PRU14, PH Sabah hanya memenangi lima kerusi iaitu bagi Parlimen Putatan, Tawau, Kota Kinabalu, Tenom dan Sandakan. – UTUSAN