LIPIS: Dua lelaki dan seorang wanita cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas dan masuk ke dalam gaung di kilometer 4 Jalan Lipis – Benta berdekatan Dewan Orang Ramai Kampung Baharu, Penjom di sini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, dalam kejadian pukul 6.30 petang semalam itu, kereta jenis Toyota Altis dari arah bandar Kuala Lipis ke pekan Benta di sini terbabas di kiri jalan lalu masuk ke dalam gaung.
“Kemalangan ini cuma melibatkan kecederaan ringan pemandu dan dua penumpang. Mangsa dihantar ke Hospital Lipis oleh ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azli, ketika kejadian bentuk jalan jalan berselekoh dan berturap, manakala cuaca berkabus.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba Kuala Lipis, Burham Daud mengesahkan ketika tiba di lokasi terdapat kemalangan sebuah kereta terbabas ke dalam gaung.
“Seramai lapan anggota bomba dan penyelamat dan dibantu dua jentera mula membuat tugasan turun ke gaung untuk menyelamatkan mangsa.
“Anggota bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan penyelamat dan dibawa naik ke atas kemudiannya diserahkan kepada ambulans,” ujarnya. – UTUSAN