PETALING JAYA: Ramalan pembentukan kerajaan campuran selepas tiada mana-mana pakatan politik memperoleh undi majoriti mudah, kekal sebagai ramalan sehingga dibuktikan melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, gabungan itu belum sampai ke tahap memikirkan pembentukan kerajaan campuran.
Ini kerana tiada satu pun parti politik yang mendapat sekurang-kurangnya 121 kerusi Parlimen.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, kepemimpinan PH ketika ini hanya memberi fokus untuk persiapan menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.
“Ramalan ini sukar dijadikan sebagai panduan. Pada PRU14 lalu pun ada ramalan yang BN (Barisan Nasional) akan menang dua pertiga dan seringkali ramalan ini ibarat panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.
“Jadi, kita semua sukar buat sebarang keputusan berdasarkan ramalan sahaja. Soal pembentukan kerajaan campuran tidak timbul lagi sehinggalah pilihan raya benar-benar berlaku,” katanya ketika dihubungi semalam.
Timbul ramalan bahawa kerajaan campuran atau pilihan raya semula dilihat sebagai senario yang berlaku jika keputusan PRU15 tergantung apabila tiada parti yang mendapat undi majoriti mudah.
Meskipun Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan pembentukan kerajaan memerlukan majoriti mudah, situasi itu masih tidak selamat sekiranya Perdana Menteri yang dilantik gagal mendapat sokongan Dewan Rakyat ketika meluluskan rang undang-undang dan usul undi percaya.
Justeru, pembentukan kerajaan campuran adalah langkah paling selamat demi kestabilan negara berbanding mengadakan semula pilihan raya yang mengambil masa dan menelan kos yang tinggi.
Ketika ini, terdapat empat pakatan politik utama terbesar daripada kerajaan dan pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN), BN, PH dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Sementara itu, Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya masih berteka-teki berhubung perancangan bergabung dengan pakatan lain sekiranya 120 kerusi Parlimen disasarkannya tidak dapat dicapai.
“Belum ada keputusan, tetapi yang penting kami boleh menang pilihan raya. Kalau sudah menang, barulah boleh tubuhkan kerajaan.
“Namun, jika GTA tidak dapat (menang) semua kerusi ini, sekurang-kurangnya kami menjadi sebagai kumpulan politik yang terbesar. Kita lakukan yang terbaik bahawa orang Melayu berani melakukan perubahan,” katanya.
Sebelum ini, GTA dilaporkan berkata, parti itu terbuka untuk berbincang dengan PN mengenai kerjasama menghadapi PRU15, namun keputusan sama ada kerjasama akan dijalin ‘tidak tahu lagi’. – UTUSAN