KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan sama ada mereka akan dibebaskan atau dipanggil membela diri atas tuduhan menerima dan bersubahat menerima rasuah RM2.8 juta.
Bung Moktar dan isterinya tiba pukul 2.25 petang diiringi beberapa orang pegawai dan kedua-duanya turut melemparkan senyuman kepada pengamal media yang menunggu mereka sejak tengah hari tadi.
Bung Moktar memakai sut biru gelap dengan kemeja merah jambu manakala isterinya, Zizie pula memakai sut hitam dengan kemeja kuning air serta berkaca mata hitam.
Mereka didakwa terhadap pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual.
Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan hari ini bagi keputusan selepas selesai mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan yang mewakili Bung Moktar dan Zizie pada 24 Jun lalu.
Sekiranya mahkamah mendapati, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, maka pasangan itu akan dipanggil membela diri.
Jika tidak, Bung Moktar dan Zizie akan dilepaskan daripada pertuduhan itu. – UTUSAN