Kemalangan langgar lari: Pekerja kontrak maut dirempuh - Utusan Malaysia

Kemalangan langgar lari: Pekerja kontrak maut dirempuh

LOKASI seorang pekerja kontrak yang sedang memasang kabel maut dirempuh sebuah kereta Proton Wira yang dipandu secara melulu dalam kejadian di Kilometer 9.5 Jalan Pantai, Port Dickson berdekatan Hospital Port Dickson, tengah malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang pekerja kontrak yang sedang memasang kabel Telekom Malaysia Berhad (TM) maut dirempuh sebuah kereta Proton Wira dalam kemalangan langgar lari di Kilometer 9.5 Jalan Pantai berdekatan Hospital Port Dickson di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah malam itu, mangsa, Faizal Taha, 35, yang mengalami kecederaan parah dilaporkan meninggal dunia satu jam kemudian selepas dirawat di Zon Merah, Hospital Port Dickson.

“Berdasarkan siasatan, kemalangan dipercayai berlaku selepas sebuah Proton Wira berwarna biru dipandu secara laju dan melulu dari arah Port Dickson menghala ke Teluk Kemang.

“Pemandu Proton Wira itu telah merempuh dua papan tanda dan beberapa kon yang dipasang di lorong kanan sebelum melanggar mangsa yang sedang memasang kabel TM di lorong tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, selepas pelanggaran, pemandu kenderaan itu menuju ke arah Bulatan Sunggala dan terus melarikan diri.

“Mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Port Dickson dan disahkan meninggal dunia pada pukul 1.15 pagi setelah menerima rawatan di Zon Merah,” katanya.

Jelas Aidi Sham, susulan daripada kejadian itu suspek lelaki berusia 31 tahun yang merupakan pemandu Proton Wira berjaya ditahan pada pukul 12 tengah hari tadi di Bandar Sunggala di sini.

Dia ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

“Suspek telah dibawa ke Cawangan Trafik IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya