MELAKA: Keputusan Kementerian Kesihatan memberi beberapa pilihan pemakaian pelitup muka dalam bangunan, kawasan dan ruang tertutup mendapat reaksi berbeza masyarakat.
Tinjauan Utusan Malaysia di Menara Persekutuan, Wisma Negeri, Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC) mendapati, orang ramai masih terus memakai pelitup muka ketika berurusan.
Pengarah Perkeso negeri, Abd. Razak Omar berkata, pihaknya tetap menggalakkan masyarakat yang berurusan di kaunter terus memakai pelitup muka.
“Kita mematuhi apa sahaja saranan daripada kerajaan namun sebagai pilihan, Perkeso sangat menggalakkan pelanggan terus memakai pelitup muka sewaktu berurusan di kaunter.
“Jika tidak memakainya kita akan bagi pelitup muka secara percuma,” katanya ketika ditemui di Ayer Keroh di sini, semalam.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan, rakyat Malaysia tidak lagi wajib memakai pelitup muka dalam bangunan berkuat kuasa serta-merta.
Penguatkuasaan itu dilonggarkan sejak pemakaian pelitup muka pada 1 Mei 2022 hanya diwajibkan apabila berada dalam bangunan, kawasan tertutup, pengangkutan awam termasuk e-hailing.
Sementara itu Pengurus Besar MIBC, Mohd. Fasarul Md. Isa berkata, pihaknya menetapkan hanya mereka yang bermain boling sahaja diberi kelonggaran untuk tidak memakai pelitup muka.
“Orang ramai yang datang ke MIBC tetapi tidak bermain boling mereka diminta untuk memakai pelitup muka,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di Wisma Negeri pula mendapati, orang ramai yang memasuki kawasan itu dan berurusan di kaunter kekal memakai pelitup muka. – UTUSAN