PASIR SALAK: Harga getah yang rendah menyebabkan ramai penoreh tidak ke kebun getah menyebabkannya dinaiki semak.
Tinjauan Utusan Malaysia di kampung Orang Asli Kampung Pahlawan, Langkap dekat sini mendapati, kebun getah penduduk dinaiki semak dan tidak dibersihkan kerana sebahagian besar penoreh tidak lagi ke kebun.
Penoreh yang ditemui berkata, mereka tiada semangat untuk menoreh kerana harga getah yang terlalu murah.
Penoreh, Musa Berahim, 42, berkata, dia sudah menoreh selama 10 tahun dan kini sudah sampai tahap dia tidak lagi dapat bertahan untuk bergantung pendapatan semata-mata melalui hasil getah disebabkan harganya yang terlalu murah.
Katanya, ini menyebabkan dia terpaksa melakukan kerja lain seperti mengambil upah meracun rumput dan memotong buah kelapa sawit.
“Harga getah terlalu rendah macam mana kami nak hidup. Keadaan bertambah susah sekarang disebabkan musim hujan, takkan kami nak tunggu sahaja sehingga berakhir musim hujan. Kami tiada pilihan selain mencari pekerjaan lain dan di kampung kami ini hanya ada kerja-kerja kampung,” katanya.
Dia percaya jika harga getah naik, penoreh kembali ke kebun untuk menoreh.
“Saya berharap kerajaan melihat masalah ini, sampai bila harga getah akan terus rendah,” katanya.
Sebelum ini, akhbar ini menyiarkan keluhan lebih 200,000 pekebun kecil di seluruh negara berikutan ketidaktentuan harga getah di pasaran yang disifatkan masih di tahap rendah.
Harga komoditi itu hampir dua bulan mengalami penurunan mendadak daripada RM3.20 sekilogram membabitkan getah beku kepada RM2.30 sekilogram ketika ini.
Bagi getah kering yang lebih 10 hari, harga dua bulan lalu RM3.80 sekilogram kini menurun kepada RM2.60.
Situasi itu menimbulkan keluhan dalam kalangan penoreh yang mendakwa harga sekilogram komoditi getah kini tidak cukup untuk mereka dan keluarga ‘bernafas’. –UTUSAN