KDM sasar tanding Parlimen Tenom, Papar - Utusan Malaysia

KDM sasar tanding Parlimen Tenom, Papar

PETER Anthony (lapan kanan) bersama ketua-ketua bahagian selepas mesyuarat parti KDM di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyasarkan untuk bertanding kerusi Parlimen Tenom dan Papar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden KDM, Datuk Peter Anthony berkata, biarpun pada masa ini mereka belum putuskan jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRU-15, namun kerusi Parlimen Tenom dan Papar sudah pasti berada dalam senarai.

“Keputusan untuk bertanding PRU-15 akan dimuktamadkan apabila tiba masanya. Kita akan umumkan kedudukan kita dan kawasan mana kita akan bertanding tapi, sudah pasti Tenom tidak akan kita lepaskan.

“Sebagai Presiden saya menyasarkan Parlimen Tenom dan mungkin juga Parlimen Papar sebab ada dua wakil rakyat kita, takkan tidak bagi (kerusi) dengan kita,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat KDM hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata, pada masa ini fokus mereka adalah memperkukuhkan kedudukan parti menerusi siri jelajah KDM di seluruh negeri.

Pada mesyuarat itu, beliau bersama ketua-ketua bahagian membincangkan tentang hala tuju dan persediaan menjelang PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Bekas Naib Presiden Parti Warisan (Warisan) itu berkata, memandangkan KDM parti baharu maka mereka memberi fokus kepada siri jelajah di semua bahagian dan ia dijangka dapat diselesaikan sebelum PRU-15.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Peter memenangi kerusi DUN Melalap di bawah payung Warisan sebelum memutuskan keluar daripada Warisan pada 28 Disember 2021.

Beliau kemudian menubuhkan parti KDM iaitu parti berbilang kaum pada Februari lalu dan dilancarkan secara rasmi pada 13 Mac oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Peter berkata, setakat ini, permohonan KDM untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum diputuskan.

Walau bagaimanapun, mereka akan kekal menyokong Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri.

“Di peringkat KDM, saya dan Datuk Juil Nuatim memberi sokongan sepenuhnya kepada Ketua Menteri selaku ketua kerajaan. Justeru, sama ada kita (KDM) diterima atau tidak bukan isunya.

“Apa yang penting kita akan teruskan perjuangan bagi membantu penduduk negeri Sabah. Kita diterima atau tidak, terpulang kepada budi bicara Pengerusi GRS. Jika tidak diterima sekali pun, kita akur, berkemungkinan kita parti yang kerdil dan masih baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN