Kawal selia pusat rawatan kecantikan

Kawal selia pusat rawatan kecantikan

SESI libat urus KPDNHEP bersama United Kingdom’s Vocational Training Charitable Trust di Putrajaya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  meneliti kepelbagaian aspek dalam industri rawatan kecantikan yang melibatkan permintaan, rantaian nilai, penggunaan teknologi dalam trend semasa dan keselamatan pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, melihat kepada potensi industri tersebut yang mampu memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara, satu sesi libat urus bersama United Kingdom’s Vocational Training Charitable Trust (VTCT) diadakan baru-baru ini.

“Dalam perbincangan itu, antara aspek penting yang diberi perhatian adalah pendaftaran pengusaha pusat kecantikan dan pekerja dengan memastikan mereka mendapat latihan kemahiran kecantikan daripada badan yang diiktiraf.

“Selain itu, memastikan mesin dan peralatan yang digunakan adalah peralatan didaftarkan, pengendalian kursus kemahiran, modul dan pensijilan dari badan diiktiraf, melindungi pengguna melalui perlindungan insurans dan bahan-bahan dalam rawatan disahkan selamat Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, VTCT adalah sebuah pusat latihan kecantikan diiktiraf Ofqual iaitu sebuah agensi kerajaan UK yang melaporkan secara terus kepada Parlimen UK bagi urusan kelayakan dan perundangan melibatkan latihan vokasional termasuk latihan rawatan kecantikan.

Tambah beliau, kesemua aspek berkenaan dibincangkan bersama VTCT untuk melihat bagaimana ia boleh diaplikasikan di negara ini selain memperhalusi keperluan perundangan dan kawal selia secara pentadbiran.

Katanya, ia bertujuan memastikan industri kecantikan di Malaysia dapat memberi keyakinan kepada pengguna melalui rawatan yang selamat.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam sektor perdagangan dalam negeri dan kebajikan pengguna, saya berkongsi keprihatinan sama dan adalah menjadi perancangan kementerian untuk mengawal selia sektor kecantikan bagi memastikan industri ini dilaksanakan teratur dan sistematik demi keselamatan pengguna.

“KPDNHEP sentiasa menjalankan sesi libat urus bersama pemain industri pusat kecantikan dan KKM bagi mencari kaedah pengawal seliaan terbaik ke atas industri kecantikan dengan jangkaan nilai pasaran bernilai lebih dari AS$999 juta menjelang 2026,” ujarnya.

Justeru beliau berharap kesemua usaha yang dijalankan dapat membantu memperkukuhkan industri kecantikan yang bukan sahaja dapat menjana pendapatan kepada negara tetapi menjamin kualiti keselamatan tinggi kepada pengguna. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya