Kawal aktiviti budaya, kesenian elak menyimpang ajaran Islam

Kawal selia aktiviti budaya, kesenian elak menyimpang ajaran Islam – Mufti

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pihak berkuasa perlu mengambil langkah mengawal segala aktiviti kebudayaan dan kesenian yang diadakan di negara ini dengan mengadakan garis panduan tertentu supaya aktiviti-aktiviti itu tidak menyimpang daripada ajaran agama dan nilai-nilai murni budaya timur.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, golongan yang terpukau dengan kegemerlapan tamadun Barat sering cuba menampilkan budaya asing untuk disogok kepada rakyat negara ini terutama generasi baharu sebagai sasaran utama.

Katanya, dengan mengundang artis-artis Barat terutama yang diketahui pendiriannya yang menyokong budaya songsang LGBT merupakan dorongan dan rangsangan yang kuat kepada penyelewengan akhlak khususnya dalam kalangan anak-anak muda.

“Situasi ini akan mengheret mereka ke arah melakukan jenayah, keganasan dan penagihan dadah.

“Saya amat mengharapkan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah perlu untuk mengawal segala aktiviti kebudayaan dan kesenian yang diadakan di negara ini dengan mengadakan garis panduan tertentu.

“Ia perlu dilakukan supaya aktiviti-aktiviti ini tidak menyimpang daripada ajaran agama, nilai murni dan budaya ketimuran yang selama ini dijunjung tinggi dan didukung bersama oleh seluruh rakyat negara ini sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang bermaruah lagi berhemah tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pelbagai pihak sebelum ini menggesa pihak berkuasa membatalkan konsert melibatkan artis luar negara yang disifatkan sebagai melalaikan dan berdosa serta berhasrat mengadakan perhimpunan khas bagi menggerakkan usaha membatalkan konsert tersebut.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, adalah mengecewakan dan amat dikesali ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-65, masih ada kalangan yang terus berusaha menghakis jati diri rakyat Malaysia yang bersendikan ajaran agama, nilai akhlak dan tradisi ketimuran.

“Golongan muda amat mudah terpengaruh kepada sesuatu yang baharu dan yang belum dibiasai. 

“Di sinilah terletak bahaya yang mengancam negara dan jati diri bangsa kerana generasi inilah yang akan mewarisi kita dan yang akan mengambil alih kepimpinan negara pada masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, apabila mereka berjaya dirosakkan maka sudah tentu negara akan lemah dan hilang daya saing untuk mencapai status negara maju seperti didambakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya