JOHOR BAHRU: Perbuatan seorang peniaga mengaut untung atas angin dengan menjual arak tiruan dan arak tidak bercukai pelbagai jenama mengundang padah apabila diberkas polis, Khamis lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 7 malam ke atas stor kedai runcit di Jalan Riang Utama, Taman Gembira di sini menemukan sebanyak 6,168 tin dan 951 botol arak dengan nilai keseluruhan RM305,252.
Ketua Polis, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, peniaga yang juga pemilik kedai berusia 53 tahun itu juga ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati lelaki terbabit mengaut untung dengan menjual arak tiruan dan tidak bercukai sejak tiga bulan lalu.
“Arak tiruan dalam botol itu dipercayai diproses dan diperoleh dari tempat lain dan dijual dengan harga pasaran antara RM150 hingga RM170. Arak itu menggunakan kod QR Jabatan Kastam yang palsu bagi mengaburi mata pengguna. Pemeriksaan lanjut mendapati kod QR itu tidak boleh diimbas menggunakan aplikasi Sistem Cukai Kastam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, peniaga itu turut mengaut untung dengan menjual arak yang dibeli di zon bebas cukai dan dijual dengan harga pasaran di kedainya.
Arak tidak bercukai itu dijual pada harga RM7.50 hingga RM8 setin berbanding RM3.50 setin di kawasan zon bebas cukai.
“Polis sedang menyiasat dari mana suspek memperoleh bekalan samsu haram itu serta mengesan ahli sindiket berkenaan. Suspek direman selama 10 hari bermula Jumaat lalu hingga 11 September ini bagi membantu siasatan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Mempengaruhi Undang-undang 1976 (penghapusan samsu gelap). – UTUSAN