'Kami tetap pilih sambung belajar’

‘Kami tetap pilih sambung belajar’

PELAJAR mendapat maklumat dan proses pengisian kemasukan ke institusi pengajian tinggi sempena program UPU2U 2022 Zon Utara di Dewan Warisan, Kangar, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ketika ramai remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih bekerja khususnya melalui platform gig seperti pengkhidmatan e-hailing atau menjadi pempengaruh media sosial, namun bidang tersebut disifatkan tidak kekal lama.

Seorang calon SPM, Nur Sabriena Zaki, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sheikh Ahmad berkata, dia tetap memilih menyambung pelajaran ke menara gading selepas peperiksaan kelak kerana melihat bidang akademik sangat penting.

Katanya, jika semua memilih bekerja dalam platform gig, negara bakal kekurangan tenaga profesional pada masa depan sekali gus menjejaskan bidang-bidang yang memerlukan kepakaran berkenaan.

“Kalau dilihat mereka yang berjaya khususnya sebagai pempengaruh dalam media sosial dengan pendapatan lumayan hanya segelintir dan situasi tersebut mungkin tidak kekal lama.

“Saya masih melihat bidang akademik ini sangat penting untuk masa depan dan memilih menyambung pelajaran selepas ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada program UPU2U 2022 Zon Utara di Dewan Warisan di sini, semalam

Program tersebut dianjurkan secara bersama Kementerian Pengajian Tinggi, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Jabatan Pendidikan negeri.

Baru-baru ini, Mingguan Malaysia melaporkan, kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran.

Walaupun data tersebut adalah dari 2019 tetapi trend tersebut dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021. Mengikut data kajian 2019, membabitkan 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan namun selepas keputusan, hanya kira-kira 170,000 memilih menyambung pengajian manakala bakinya 390,000 memasuki pasaran kerja.

Tiga faktor utama mereka yang berusia 17 hingga 18 tahun tidak minat menyambung pelajaran ialah banyak peluang pekerjaan menerusi platform gig, terpengaruh menjadi pempengaruh media sosial dan beranggapan belajar tinggi bukan jaminan mendapat pekerjaan lebih baik.

Seorang lagi calon SPM, Muhammad Hilman Aidel Muhaidi,17, juga melihat bidang akademik sangat penting dan lepasan SPM perlu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi demi masa depan lebih baik.

“Program UPU2U yang diadakan ini sangat baik untuk memberi kesedaran kepada pelajar untuk menanam minat menyambung pelajaran selepas SPM di mana-mana institusi pengajian tinggi,” kata pelajar SMK Dato’ Sheikh Ahmad itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya