PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Kaka Azraff meluahkan perasaan bangga apabila menjadi antara barisan anak seni tempatan yang terpilih menghiasi papan iklan digital tersohor dunia di Times Square, New York, Amerika Syarikat.
Kongsi Kaka, kejayaan itu umpama mimpi jadi realiti dan cukup diidam-idamkan selepas melihat beberapa penyanyi tempatan lain turut berjaya menghiasi papan digital terkenal itu.
“Rasa seperti bermimpi apabila wajah sendiri menghiasi papan iklan tersebut. Itu adalah sebahagian daripada program EQUAL oleh Spotify.
“Sebelum ini, saya melihat artis wanita hebat tempatan terpilih dan sekarang, giliran saya pula,” katanya.
Selain Kaka, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dolla dan Iman Troye pernah terpilih menghiasi papan iklan yang menjadi idaman ramai anak seni, tidak kira dalam dan luar negara.
Dalam pada itu, tambah Kaka, kejayaannya itu diharap dapat memberi inspirasi kepada peminat, khususnya wanita untuk jangan takut bermimpi dan mengejar impian.
“Kita (wanita) mampu menggoncang dunia. Mampu mencipta kejayaan yang luar biasa. Semoga kejayaan saya dapat memberi inspirasi kepada anda semua,” ujarnya.