Juruteknik tidak mengaku salah pukul isteri hingga patah pinggul - Utusan Malaysia

Juruteknik tidak mengaku salah pukul isteri hingga patah pinggul

MOHD. Najib Zainal Abidin dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, bagi didakwa atas kesalahan memukul isterinya sehingga patah tulang pinggul dalam kejadian di Tampin, 15 September lalu. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah di sini hari ini atas kesalahan memukul isterinya sehingga patah tulang pinggul dalam kejadian di Tampin, 15 September lalu.

Tertuduh, Mohd. Najib Zainal Abidin, 37, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, pada 15 September kira-kira pukul 10 malam di Taman Bandar Utama, Tampin, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas isterinya yang berusia 36 tahun.

Tertuduh menumbuk di perut, mata kiri, kepala dan tangan beberapa kali dan menendang di perut, kaki serta memijak perut dan pinggul beberapa kali sehingga menyebabkan isterinya mengalami kesakitan dan patah tulang pinggul.

Oleh yang demikian, tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah Seksyen 326A Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK), tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Bagi Seksyen 326A kanun sama, tertuduh boleh dihukum penjara bagi satu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Amirul memohon tiada jaminan diberikan buat tertuduh dan sekiranya mahkamah memberikan jaminan, wang jaminan harus dalam jumlah yang tinggi serta mengenakan syarat tambahan.

Tertuduh dalam rayuannya memohon untuk diberikan jaminan memandangkan perlu bekerja bagi mencari nafkah buat keluarga dan anak-anak.

Norma kemudiannya membenarkan jaminan kepada tertuduh sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi.

Jika gagal jaminan akan ditarik serta merta dan sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya