BUTTERWORTH: Tiada lesen memandu mencatatkan kesalahan tertinggi dalam Op Tutup yang berlangsung di dua lokasi di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) di sini, tengah malam tadi.
Operasi yang memfokuskan pemeriksaan kenderaan perdagangan berlangsung selama dua hari bermula Selasa lalu dijalankan di Plaza Tol Sungai Dua (arah Selatan) dan Plaza Tol Juru (arah Utara).
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Adenan Mat Isa berkata, jumlah kesalahan tiada lesen memandu paling tinggi direkodkan iaitu 356 notis diikuti dengan 198 notis kesalahan teknikal dan 113 notis berkaitan perlesenan kenderaan.
“Kita dapati kebanyakan kelindan lori bukan sahaja tidak mempunyai lesen, malah mereka berani menggantikan pemandu utama sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Antara alasan biasa yang diberikan adalah terlupa, tak ada masa untuk buat lesen dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak 2,490 kenderaan diperiksa dan 445 daripadanya dikenakan tindakan manakala 766 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi tersebut.
Katanya, operasi bersepadu terbabit turut disertai beberapa agensi lain antaranya JPJ Kedah dan Perlis; Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Kita mahu pastikan kenderaan perdagangan yang berada di atas jalan raya layak dipandu dan benar-benar selamat bagi mengurangkan risiko kemalangan.
“Pemeriksaan brek, tayar, enjin, asap dan komponen lain amat dititikberatkan supaya kenderaan berat ini tidak akan rosak di tengah jalan yang dikhuatiri akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Justeru, penguatkuasaan dan advokasi secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin,” katanya. – UTUSAN