Jejantas RM1.5 juta jadi projek 'gajah putih'

Jejantas RM1.5 juta jadi projek ‘gajah putih’

JEJANTAS bernilai RM1.5 juta terbiar sejak tiga tahun lalu selepas sebuah kolej di kawasan berhampiran Taman Etnobotani, Gua Musang, Kelantan. - FOTO/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Penduduk menyifatkan jejantas yang dibina di Taman Etnobotani di sini bernilai RM1.5 juta umpama ‘projek gajah putih’ apabila terbiar sepi sejak tiga tahun lalu.

Sebelum ini, jejantas itu dibina oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) untuk kegunaan pelajar Kolej Poly-Tech Mara Kesedar (KPTM-Kesedar), namun kini sepi tanpa ada yang menggunakannya.

Seorang penduduk, Azlan Mohd. Lazim, 50, berkata, sejak pusat pengajian itu ditutup pada 2019, jejantas tersebut tidak lagi digunakan sebaliknya menjadi perhiasan apabila tiada orang menggunakannya.

Menurutnya, selaku penduduk tempatan dia merasakan kemudahan itu adalah sesuatu yang merugikan apabila projek yang menelan belanja jutaan ringgit tidak dapat digunakan.

“Saya merasa terkilan dengan keadaan yang berlaku kerana jambatan ini terbiar selepas kolej itu ditutup.

“Projek itu langsung tiada manfaat kepada penduduk sekitar yang tinggal di kawasan berhampiran dan kami menganggap ianya satu pembaziran,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Norhayati Che Daud, 45, berkata, sepatutnya sebelum projek itu dibuat pihak bertanggungjawab perlu membuat perancangan untuk jangka masa panjang.

Katanya, ketika itu, tujuan pembinaan jejantas itu memfokuskan kepada pelajar KPTM-KESEDAR yang bilangannya dianggarkan kurang daripada 500 pelajar.

“Sepatutnya projek ini tidak memfokuskan golongan tertentu yang akhirnya merugikan dan berlaku pembaziran.

“Sebelum pembinaan jejantas terbabit, sepatutnya pihak berwajib perlu membuat kajian projek yang menelan belanja besar ini dapat dimanfaatkan semua rakyat,” ujarnya.

Sebelum ini, Kesedar mendakwa gagal mempertahankan KPTM-Kesedar Gua Musang daripada ditutup berikutan kurang mendapat sambutan akibat kesukaran pelajar mendapatkan pinjaman.

KPTM-Kesedar yang ditubuhkan pada 2011 merupakan kampus cawangan KPTM kesembilan dan kampus cawangan kedua KPTM yang beroperasi di kawasan luar bandar selepas Semporna di Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya