JBPM Perak kenal pasti titik pendaratan helikopter di laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands - Utusan Malaysia

JBPM Perak kenal pasti titik pendaratan helikopter di laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands

AZMI Osman (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima pada Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di Meru Raya, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sedang mengenal pasti lokasi sesuai di sepanjang laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands untuk dijadikan ‘landing point‘ atau titik pendaratan helikopter.

Pengarah JBPM negeri, Azmi Osman berkata, langkah itu bagi meningkatkan kesiapsiagaan pasukan penyelamat dalam menghadapi bencana terutama runtuhan tanah atau kemalangan besar terutama ketika menghadapi monsun timur laut.

Katanya, kajian berkaitan lokasi-lokasi sesuai itu dijangka siap hujung bulan ini.

“Titik pendaratan yang dikenal pasti itu nanti akan memudahkan Unit Udara dalam membantu tugas menyelamat di mana apabila berlaku satu-satu insiden, kita akan cepat sampai (ke lokasi).

“Sekarang, kita sedang kenal pasti beberapa lokasi sesuai di sepanjang laluan itu (Simpang Pulai-Cameron Highlands). Kita kena buat kajian dahulu bagi melihat kesesuaiannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di Meru Raya di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga sedang mengenal pasti lokasi tambahan untuk dijadikan titik pendaratan helikopter di sepanjang laluan Gerik-Jeli, Kelantan, bagi tujuan sama.

Katanya, ketika ini hanya terdapat empat ke lima titik pendaratan helikopter di sepanjang laluan tersebut.

“Operasi untuk mengenal pasti titik pendaratan baharu ini akan mengambil kira beberapa faktor termasuk keluasan yang sesuai serta permukaan bumi,” katanya.

Sementara itu mengulas kesiapsiagaan anggotanya dalam menghadapi monsun, Azmi berkata, seramai 1,253 pegawai dan anggota bomba Perak bersiap sedia menghadapi fenomena cuaca tidak menentu yang boleh membawa bencana banjir.

Katanya, pihaknya juga akan dibantu 40 pasukan bomba sukarela seluruh negeri membabitkan keanggotaan seramai 1,244 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya