JAS mohon ulasan projek jalan rentas 2 hutan simpan kekal di NS

JAS mohon ulasan projek jalan rentas 2 hutan simpan kekal di Negeri Sembilan

TANGKAP layar kawasan cadangan projek jalan raya baharu antara Kampung Gagu dengan Kampung Kampung Ulu Beranang di Negeri Sembilan. - FOTO/IHSAN JAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) memohon ulasan orang awam bagi Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) untuk sebuah projek jalan raya yang baharu di Negeri Sembilan.

Menerusi hantaran dalam laman sosialnya, agensi tersebut memaklumkan bahawa laluan tersebut dicadangkan akan dibina antara Kampung Gagu sehingga Kampung Ulu Beranang.

“Projek ini memang bakal memberikan impak positif dan negatif terhadap alam, namun langkah mitigasi sudah dikenal pasti serta diperincikan secara teliti dalam laporan EIA,” katanya.

Cadangan laluan ini akan melengkapkan Jalan Lingkaran Luar Negeri Sembilan yang diharapkan menambah baik sistem perhubungan dan pengangkutan di kawasan itu menjadi cekap.

Setelah siap ujar JAS, laluan baharu itu yang dijangka sepanjang 15 kilometer, akan membawa kesan limpahan ekonomi sejajar dengan Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2015-2045.

Lokasi tapak dicadangkan itu akan bermula dari jalan sedia ada di Kampung Chenerek dekat Empangan Sungai Triang serta melalui dua daerah yang berbeza iaitu Seremban dan Jelebu.

Jajaran jalan ini turut merentasi dua hutan simpan kekal iaitu Gapau dan Lenggeng sejauh tujuh kilometer berkeluasan 94 hektar manakala kawasan bukan hutan pula sekitar 63 hektar.

Selain itu kata JAS, ada pembinaan tiga jambatan baharu yang melintasi Sungai Triang dan Sungai Kenol serta jambatan khas untuk lintasan haiwan liar di Hutan Simpan Kekal Gapau.

Pada masa sama, penggerak projek tersebut, Unit Projek Khas Zon 2 Selatan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia di Negeri Sembilan akan turut menaik taraf empat persimpangan jalan.

“Laluan baharu ini bakal menjadi jalan alternatif yang dapat memendekkan tempoh perjalanan dari Jelebu ke Lenggeng dan sebaliknya serta mengurangkan kesesakan trafik,” kata JAS.

Ringkasan eksekutif dan laporan EIA boleh diperoleh terus daripada Perpustakaan JAS di ibu pejabat di Wisma Sumber Asli, Presint 4 di sini bermula kelmarin sehingga 6 Oktober depan.

Dokumen itu turut disediakan JAS Negeri Sembilan selain Majlis Bandaraya Seremban dan Majlis Daerah Jelebu manakala ulasan bertulis awam perlu diserahkan sebelum 21 Oktober.

Menurut JAS, penggerak projek di Pejabat Tapak JKR, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan boleh dihubungi kepada pegawai bertugas, Ir. Zainal Tumian melalui e-mel [email protected].

Sementara jururunding EIA pula ialah Wiranda (Malaysia) Sdn. Bhd di Seri Kembangan, Selangor dengan dihubungi kepada pegawainya, Fennysharty Hazli menerusi talian 03-89574940. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya