Jabatan Mufti Negeri Sembilan giat kesan Habib Shah Firdaus - Utusan Malaysia

Jabatan Mufti Negeri Sembilan giat kesan Habib Shah Firdaus

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (tengah) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab Malik (kanan) dan Mohd. Yusof melihat Buku Himpunan Fatwa JMKNNS 1994-2020 yang dilancarkannya bersempena Program Irsyad Al-Fatwa Perdana Negeri Sembilan 2022 di Seremban hari ini. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan (JMKNNS) dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang giat mengesan keberadaan pemimpin Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Kampung Jawa, Labu di sini, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad.

Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, ia selepas lelaki yang dikatakan telah menyeleweng daripada hukum syarak itu telah pulang ke negara ini dari Arab Saudi pada 21 Ogos lalu.

Menurut beliau, sehubungan itu, usaha mengesan Habib Shah Firdaus giat dijalankan bagi membolehkan dia disiasat berhubung dakwaan terhadapnya itu.

“Habib Shah Firdaus dikatakan telah ditahan polis di Arab Saudi dan dia telah diarahkan pulang terus ke Malaysia. Namun penahanannya itu tidak dimaklumkan kepada pihak berkuasa negara ini.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan kami dan kemudian Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan dia sudah pulang ke negara ini, sehingga sekarang polis sedang mengesan dia berada,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Program Irsyad Al-Fatwa Perdana Negeri Sembilan 2022 di sini hari ini.

Bulan lalu, Mohd. Yusof memberitahu, Habib Shah Firdaus telah menyeleweng daripada hukum syarak termasuk mempercayai akan berlaku kemunculan imam Mahdi pada hari Arafah lalu.

Hasil maklumat diperoleh pihaknya, individu itu dipercayai berada di Arab Saudi sejak bulan Mac lalu bersama ratusan pengikutnya bagi menantikan satu ‘peristiwa besar’ iaitu kemunculan Imam Mahdi.

Antara maklumat yang diperoleh juga, Habib Shah Firdaus dikatakan mahu menunggu Hari Arafah iaitu dakwanya satu peristiwa akan berlaku, seolah-olah imam Mahdi akan muncul dan dia mahu menjadi pengikut Imam Mahdi.

Sementara itu, Mohd. Yusof memaklumkan, pihaknya kini dalam proses untuk membatalkan tarekat pimpinannya itu.

“Kami masih berusaha (memanggil Habib Shah Firdaus) kerana kita mahu membatalkan tarekatnya itu.

“Walaupun kami tahu perkara yang tidak betul itu, tetapi kami mahu tahu pendiriannya sendiri dan tanya lebih lanjut tentang apa yang dinyatakannya kepada pengikutnya.

“Saya harap pihak polis dapat menjejakinya dan membawanya kepada kami, kerana kami sudah tidak dapat berhubung dengan dirinya lagi,” kata Mohd. Yusof yang turut memberitahu beberapa pengikut Habib Shah Firdaus yang pulang ke negara ini kemudiannya turut telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Pada 4 Ogos, menerusi kenyataan, Mohd. Yusof memaklumkan, pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus yang berpusat di Kampung Jawa, Labu di sini ditutup berkuat kuasa 3 Ogos lalu.

Penutupan pusat itu bagi tempoh enam bulan dibuat agar siasatan lanjut dapat dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan, sama ada untuk membatalkan atau tidak pendaftaran tarekat tersebut.

Jelas beliau, pada awal Julai lalu, pihaknya telah menerima aduan tentang tarekat yang dipimpin oleh Habib Shah Firdaus telah melakukan perbuatan, perkara atau amalan yang bercanggah dengan hukum syarak serta pengamalan tarekat tasawuf seperti mana direkodkan dalam daftar di bawah perenggan 11(1)(h), Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya