KUALA LUMPUR: Bekas anggota Raihan, Nazrey Johani, 50, tidak berkecil hati sekiranya tidak dipelawa untuk menjayakan konsert Garis Masa Raihan yang akan diadakan pada November ini.
Nazrey, yang juga bekas vokalis utama kumpulan legenda tersebut berkata, dia sebenarnya sangat gembira dan berbangga kerana kumpulan yang disegani itu masih diberi peluang menjayakan konsert selepas lebih dua dekad memperjuangkan muzik nasyid.
“Saya gembira dan sangat bersyukur dengan usaha mereka. Saya pula, kalau dijemput menjayakan konsert itu, saya akan pergi. Kalau tidak pun okey.
“Tidak timbul soal kecil hati. Itu adalah hak mereka, mahu panggil (saya) atau tidak,” katanya usai sidang media Konsert Nasyid Legenda 2022 di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dekat sini, semalam.
Nazrey, bagaimanapun berharap peminat Raihan berlapang dada dan menerima keputusan anggota kumpulan itu sekiranya dia tidak terlibat dalam konsert di Stadium Melawati, Shah Alam itu.
“Saya tahu peminat akan cari kerana kalau saya ada, lengkaplah kumpulan itu. Kalau saya dijemput, lengkaplah kemunculan Raihan.
“Tidak timbul isu, saya dijemput atau tidak. Kalau ada, Alhamdulillah. Kalau tidak, juga Alhamdulillah,” katanya lagi.
Sementara itu, Nazrey akan terlibat dalam Konsert Nasyid Legenda 2022 di Dewan Sivik MBPJ pada 29 Oktober ini.
“Konsert ini adalah perjalanan industri muzik nasyid kita sejak tahun 80-an dengan kebangkitan Nadamurni dan The Zikr, seterusnya Raihan, Hijjaz, Rabbani dan lain-lain yang muncul pada era 90-an.
“Ia juga akan menampilkan kumpulan Inteam, Shahir Zawawi dan Ustaz Akhil Hayy,” ujarnya.
Tiket konsert tersebut dijual pada harga RM250, RM200, RM150, RM100 dan RM50. Layari ilassotickets.com untuk membuat pembelian.