PUTRAJAYA: Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) digalakkan untuk menjadi penyedia kursus ‘micro-credentials’ bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat (PSH), selain mampu menjana pendapatan institusi masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, IPTA perlu merebut peluang itu kerana institusi pengajian tinggi swasta giat menawarkan program kursus jangka masa pendek itu berdasarkan permohonan yang dibuat kepada pihaknya.
Berdasarkan rekod, katanya, buat masa ini baru dua IPTA yang menawarkan kursus micro-credentials yang kini menjadi trend dan keperluan industri.
“Micro-credentials ini satu daripada inisiatif pendidikan fleksibel dan banyak program yang boleh dijadikan kursus jangka masa pendek, justeru IPTA yang terawal menyahut peluang ini mempunyai peluang menjana pendapatan lebih besar berbanding yang lain.
“Penawaran kursus micro-credentials sama ada pecah kecil daripada program yang sudah mendapat akreditasi atau secara stand-alone menjadi satu daripada inisiatif penjanaan pendapatan buat IPT, justeru peluang ini perlu dimanfaatkan,” katanya selepas sesi perkongsian pada Sesi Jelajah MQA @ Sarawak yang dihadiri lebih 130 peserta dari 60 IPT di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sarawak, hari ini.
Hadir sama, Naib Canselor UNIMAS, Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit; Pengarah Kanan (Akreditasi) MQA, Mohd Khairul Nizam Ibrahim; Pengarah Bahagian Standard MQA, Kamarul Bakri Abd Aziz; Pengarah Bahagian Akreditasi (Sains dan Perubatan) MQA, Abdul Saman Taip dan Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik MQA, Abdul Razak Mohamed.
Sesi jelajah itu menjadi antara program berfokus MQA untuk bertukar pandangan secara terus dengan pihak IPT dalam konteks jaminan kualiti pengajian tinggi di samping mempromosi inisiatif PSH seperti APEL.A, APEL.C, APEL.Q dan Micro-Credentials serta menggalakkan lebih banyak IPT menjadi Pusat Penilaian APEL.
Pada sesi itu, buat julung kalinya MQA telah mengadakan sesi perkongsian berkaitan integriti dan kali kedua penganjuran Hari Mesra Pelanggan (HMP) di lokasi luar bagi memberi ruang dan peluang kepada institusi pengajian tinggi (IPT), institusi pendidikan dan pihak berkepentingan yang berhampiran yang ingin memperoleh maklumat berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh MQA.
Sementara itu, Mohamad Kadim berkata, tugas dan tanggungjawab naib canselor di universiti awam (UA) juga kini bukan sekadar menjaga kualiti dan standard program pengajian, tetapi juga perlu memikirkan penjanaan pendapatan universiti.
Katanya, 10 ke 15 tahun mungkin berbeza situasinya, namun kini banyak masa juga digunakan untuk mencari dana bagi memastikan kelangsungan universiti dan turut bersaing dengan rakan IPT swasta untuk menawarkan program yang mungkin pasarannya kecil jika di Sarawak sahaja.
“Sebab itu UNIMAS turut melangkah keluar dengan menubuhkan pusat pengajian di Kuala Lumpur dan dalam perancangan melebarkan sayap ke Indonesia dan Vietnam.
“Kita mahu UNIMAS yang sudah 30 tahun penubuhannya tahun ini menjadi jenama antarabangsa dan bersaing di peringkat global dalam aspek penawaran program,” katanya. – UTUSAN