GEORGE TOWN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad perlu lebih sensitif dalam mengeluarkan kenyataan supaya tidak memberikan tanggapan agama Islam atau kerajaan seakan ‘menempelak’ mangsa penderaan seksual yang berani tampil bersuara.
Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang, Nurhidayah Che Rose berkata, sebagai seorang pemimpin terutama yang dipertanggungjawabkan dalam Hal Ehwal Agama Islam, Idris harus bijak dan sensitif dalam penggunaan bahasa supaya tidak memesongkan pandangan orang ramai kepada agama Islam dalam mengendalikan kes-kes tertentu.
”Saya menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menggunakan ayat seperti ‘membuka aib’ apabila seorang remaja perempuan mendedahkan kepada umum pernah menjadi mangsa penderaan seksual bapanya sendiri.
”Dikhuatiri dengan kenyataan yang sedemikian akan membuatkan lebih ramai mangsa pencabulan atau penderaan seksual lebih takut untuk mendapatkan keadilan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini seorang pelakon berusia 15 tahun mendedahkan sikap buruk bapanya dengan mendakwa melakukan gangguan seksual selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk ketika ditemubual dalam satu program di YouTube.
Idris yang mengulas mengenai isu itu berkata, pelakon remaja yang mendakwa dicabul bapa sepatutnya melaporkan segera kejadian itu kepada polis, bukannya membuka aib dengan mendedahkannya kepada orang ramai.
Menurut Nurhidayah, pihaknya menyokong adalah lebih baik bagi mangsa membuat laporan polis segera bagi mendapatkan keadilan sewajarnya, namun ayat seperti ‘membuka aib’ oleh Idris tidak sesuai digunakan.
Dalam pada itu kata beliau, pihaknya turut menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun supaya membangkitkan masalah itu dalam sidang Parlimen.
”Tindakan yang lebih tegas serta langkah-langkah yang lebih proaktif perlu diambil untuk menangani masalah dan membantu mangsa-mangsa penderaan seksual yang semakin meruncing di negara ini.
”Sebagai seorang menteri, beliau harus lebih proaktif dalam mengendalikan masalah berkaitan wanita, keluarga dan masyarakat,” katanya.-UTUSAN