Ibu direman seminggu bantu siasatan kes dera anak - Utusan Malaysia

Ibu direman seminggu bantu siasatan kes dera anak

TANGKAP layar menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang didera ibunya dalam kejadian di Kota Bharu, Kelantan enam bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang ibu direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dera melibatkan anak lelakinya yang berusia lapan dalam kejadian di sebuah rumah di sini, enam bulan lalu.

Suspek yang berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kok Lanas di sini kira-kira pukul 3.30 petang semalam selepas bekas suaminya atau bapa mangsa membuat laporan polis pada 10 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan mendapati, bekas suami suspek mengetahui kejadian tersebut selepas menerima panggilan telefon daripada teman lelaki kepada wanita itu yang memaklumkan mengenai insiden yang berlaku pada 9 Mac.

Menurutnya, suspek didapati tinggal bersama anak lelakinya yang bersekolah di sini selepas bercerai dengan suaminya dua tahun lalu.

“Suspek bersama bekas suaminya berkahwin di Thailand pada 2012 dan mempunyai dua orang anak. Selepas bercerai, wanita itu menjaga anak lelakinya manakala bekas suaminya tinggal bersama anak perempuan di Tampin, Negeri Sembilan. Pada awalnya, bekas suami wanita itu cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan suspek berhubung hak penjagaan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Katanya, kanak-kanak itu juga akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut.

“Suspek direman selamat tujuh hari bermula hari ini sehingga Jumaat depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” jelasnya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 26 saat di aplikasi TikTok yang memaparkan tindakan seorang wanita memukul anak lelakinya dengan menggunakan meja kayu sehingga kanak-kanak itu menangis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya