Ibu, anak dan cucu maut nahas tiga kenderaan

Ibu, anak dan cucu maut nahas tiga kenderaan

KEADAAN kereta Perodua Myvi yang dinaiki tiga mangsa maut yang merupakan ibu, anak dan cucu bertembung dengan dua lagi kenderaan di Kilometer 44.5 Jalan Muar-Segamat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Seorang ibu, anak dan cucu maut dalam satu kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 44.5 Jalan Muar-Segamat, di sini semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II (PBK) K Kumar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian pada pukul 3.19 petang.

“Kemalangan membabitkan dua Perodua Myvi dan sebuah kenderaan utilliti sukan (SUV) Mazda CX5 serta seramai enam mangsa. Terdapat empat mangsa dalam Perodua Myvi dengan dua daripada mangsa, iaitu Siti Fatimah Ladri, 71, dan Nor Haliza Hamzah, 36, tersepit di tempat duduk,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pasukan bomba mengeluarkan dua mangsa, iaitu ibu dan anak dengan menggunakan peralatan khas sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Dua lagi mangsa di dalam Perodua Myvi berkenaan, Harunarashid Ghazali, 34, dan anak lelakinya, Aarish Ammar, 2, yang merupakan suami dan anak kepada Nor Haliza Hamzah cedera dan dihantar ke Hospital Tangkak, di sini dengan ambulans.

Kumar berkata, pemandu sebuah lagi Perodua Myvi, Khoo Ling Wei, 26, dan pemandu Mazda CX5, Muhammad Loqman, 26, terselamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat berkata, siasatan awal mendapati kenderaan Myvi berwarna gelap dinaiki mangsa yang maut telah bertembung dengan dua kenderaan tersebut.

“Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan dua tahun (Aarish Ammar) yang parah telah dibawa ke Hospital Daerah Tangkak (HDT) untuk rawatan lanjut.

“Malangnya mangsa meninggal dunia pada pukul 5 petang semalam yang merupakan anak dan cucu kepada mangsa maut di tempat kejadian. Siasatan masih diteruskan dan keterangan mangsa lainnya sedang dikemas kini,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya