LANGKAWI: Hospital Sultanah Maliha (HSM) akan dinaik taraf sebagai hospital pakar utama dalam tempoh tiga tahun bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada pesakit.
Malah, HSM juga akan menjadi hospital kerajaan pertama yang dilengkapi pendingin hawa di semua wad termasuk wad kelas ketiga sejajar dengan status pulau itu sebagai pulau pelancongan bertaraf antarabangsa.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, hospital itu kini berstatus Hospital Pakar Minor dan hanya menawarkan beberapa perkhidmatan sementara kes-kes tertentu perlu dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
“Sebab itu, konsep bangunan tambahan HSM ini lebih kepada bertaraf antarabangsa. Rekaannya pun macam hospital swasta dan kos pun tinggi sedikit.
“Tetapi tak apa, sebab memang unik kepada Langkawi kerana kita mahu bila pelancong datang ke sini dia pergi hospital kerajaan pun macam hospital swasta,” katanya selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Bangunan Tambahan HSM di sini, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff. Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.
Khairy berkata, kos pembinaan bangunan itu membabitkan kos RM425 juta, manakala pembelian peralatan lebih RM75 juta dibuat di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Jelasnya, naik taraf itu juga adalah berpadanan dengan bayaran yang dikenakan kepada pelancong asing yang tidak mendapat subsidi bagi perkhidmatan kesihatan awam di sini
Selain itu, bangunan tambahan HSM itu akan turut dilengkapi wad penyakit berjangkit bagi mengelak penularan penyakit berjangkit dalam kalangan populasi migran di sini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, pembinaan bangunan baharu menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) itu bakal memuatkan 220 katil, sekali gus menjadikan keseluruhan katil hospital itu meningkat kepada 330.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan perolehan bagi ambulans laut untuk kegunaan penduduk di Pulau Tuba akan dibuat dalam masa terdekat.
Malah, Kementerian Kesihatan akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menyediakan perkhidmatan helikopter Medivac dari sini ke hospital besar. – UTUSAN