KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini berpendapat, tindakan Datin Seri Rosmah Mansor mengangguk dan menyatakan ‘Hmmm’, jelas membuktikan penerimaan wang RM1.5 juta di kediamannya di Langgak Duta, lima tahun lalu.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan berpuas hati, gambar dan rakaman video yang diambil oleh Rayyan Radzwill Abdullah membuktikan dua beg sandang berisi wang diletakkan di ruang tamu kediaman tersebut.
Sehubungan itu, mahkamah tidak yakin dengan pembelaan isteri bekas Perdana Menteri bahawa kedua-dua beg sandang tersebut tidak diserahkan kepadanya.
Selain itu, mahkamah berpuas hati bahawa bekas pembantu khasnya, Datuk Rizal Mansor sendiri melihat dan mendengar Rosmah mengarahkan ‘butler’ membawa masuk kedua-dua beg tersebut ke biliknya.
“Rantaian pergerakan wang RM1.5 juta itu berjaya dibuktikan dan saya menyimpulkan bahawa kedua-dua beg itu mengandungi wang tersebut.
“Rosmah mengangguk kepala dan berkata ‘Hmmm’ yang menandakan beliau mengetahui dan menerima wang itu,” ujarnya.
Pada hemat hakim berkenaan, jika Rosmah tidak berniat menerima wang tersebut, beliau sepatutnya meminta Saidi Abang Samsuddin dan Rayyan meninggalkan kediamannya atau membuat laporan polis atau memulangkannya kepada Saidi.
Mahkamah turut berpuas hati Saidi, Rizal dan Rayyan meninggalkan kediaman Rosmah tanpa membawa keluar kedua-dua beg berkenaan.
Hakim Mohamed Zaini menyatakan demikian dalam penghakiman bertulis setebal 116 muka surat dalam keputusan ketika mensabitkan Rosmah bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan rasuah.
Berkaitan pertuduhan ketiga, mahkamah berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan Rosmah menerima wang RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal di kediaman rasmi di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Disember 2016.
Rosmah disabitkan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak. – UTUSAN