RANTAU PANJANG: Seorang lelaki ‘hilang’ upaya untuk menggalas tanggungjawab ketua keluarga bagi menyara isteri dan lima anak selepas terjatuh dari pokok kelapa berketinggian 10 meter lima bulan lalu.
Kejadian itu menyebabkan tulang belakang Mohamad Amirul Aiman Mohd. Ripin, 27, terpaksa disokong dengan lapan biji skru bagi menggelakkan dia berada dalam keadaan terlantar.
Mohamad Amirul Aiman berkata, sejak kejadian itu dia tidak lagi berupaya keluar mencari rezeki sekali gus memberi kesan kepada mereka sekeluarga.
Menurutnya, sebelum kejadian itu dia bekerja sebagai tukang rumah dan memanjat pokok kelapa merupakan salah satu usaha sampingan bagi menampung kewangan keluarga.
“Saya perlu menyara tiga lagi anak yang masih bersekolah masing-masing berusia antara 12 hingga lapan tahun. Disebabkan poket yang makin ‘nipis’ kami terpaksa berjimat cermat.
“Ketika ini sumber kewangan utama saya dan keluarga ialah bantuan bulanan RM600 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa menerima kunjungan dari Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) yang diwakili oleh Ketua Unit Media dan Komunikasi, Akidi Hamid.
Mohamad Amirul berkata, walaupun sudah mampu berjalan namun disebabkan masalah saraf dia gagal mengawal kencing dan pembuangan air besar.
Katanya, situasi itu menyebabkan dia perlu memakain lampin pakai buang enam keping sehari.
“Wang JKM itu hanya cukup untuk beli lampin pakai buang saya dan anak kecil dua orang yang berusia dua tahun dan tiga tahun,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB atas nama Mohamad Amirul Aiman 7073294830 atau menghubungi talian 014-2976114. – UTUSAN