KOTA BHARU: Kejatuhan harga getah ketika peningkatan kos sara hidup pada masa ini membuatkan penoreh umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ kerana bergantung kepada komoditi itu sebagai sumber utama ekonomi keluarga.
Tinjauan Utusan Malaysia di Gua Musang mendapati, rata-rata penoreh mendedahkan sejak harga komoditi itu jatuh, pendapatan mereka menjunam sehingga hanya mampu meraih pendapatan sekitar RM700 hingga RM1,000 sebulan berbanding sebelum ini RM2,000.
Seorang penoreh getah, Zahari Daud, 52, berkata, sejak kejatuhan bahan itu, kehidupan keluarganya kini bagaikan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
“Sebagai pekebun kecil, kami terpaksa akur dengan harga getah yang naik dan turun sekitar RM2.60 sekilogram ketika ini.
“Kami hendak makan apa jika situasi ini berterusan kerana harga getah murah serta hasilnya pula sedikit. Kami berharap pihak kerajaan membantu kami,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi penoreh, Nazri Hamzah, 52, pula berkata, keadaan sangat serius dan memerlukan tindakan drastik daripada pihak kerajaan untuk menangani nasib penoreh getah.
Katanya, mereka berharap harga getah dinaikkan sehingga lebih RM4 atau RM%5 sekilogram sesuai dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
“Kedatangan musim tengkujuh kelak menyukarkan lagi keadaan kerana penoreh tidak dapat keluar bekerja sekali gus hilang sumber pendapatan,” ujarnya.
Sementara itu di Tumpat, Khalid Daud, 65, berkata, sejak harga komoditi itu jatuh, sudah seminggu dia tidak keluar menoreh.
“Tak pernah lagi harga jatuh seteruk ini, ura-ura harga getah jatuh kepada RM1.50 sedangkan harga sebelum ini RM3.40 hingga RM3.60.
“Kebiasaannya, pendapatan saya hasil jual getah sekitar RM200 selepas dikumpul selama dua minggu. Namun dengan harga sekarang ini nak jual getah pun tidak berbaloi,” katanya. – UTUSAN