JOHOR BAHRU: Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang baharu.
Walaupun tidak memaklumkan nama agensi kerajaan yang diketuainya, namun berdasarkan ruangan komen beliau akan mengemudi LLM.
“Tugas baharu di peringkat Persekutuan. Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik untuk Malaysia.
“I am looking forward to contributing to the nation in any capacity,” katanya ringkas dalam laman sosial beliau, hari ini.
Perkongsian tersebut turut mendapat maklum balas daripada akaun Twitter rasmi LLM yang turut mengalu-alukan kehadiran beliau selaku Pengerusi baharu agensi berkenaan.
“Selamat datang Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad ke Lembaga Lebuhraya Malaysia,” maklum LLM secara ringkas.
Difahamkan tempoh lantikan tersebut bermula 15 Ogos 2022 hingga 14 Ogos 2024.
Sementara itu, ruangan komen status terkini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor tersebut turut dibanjiri dengan ucapan tahniah daripada pelbagai pihak termasuk rakan-rakan politik daripada UMNO.
Antara yang turut mengucapkan tahniah termasuk Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid dan bekas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad.
Jawatan Pengerusi LLM sebelum ini disandang Datuk Abdul Rashid Asari. – UTUSAN